Selasa, 13 Jun 2017

MENTERI BERBALAH MENUNJUKKAN NAJIB LEMAH

Pada asasnya cukai pelancongan yang sudah diluluskan Parlimen dan akan berkuatkuasa 1 Julai depan adalah kerana kerajaan tidak cukup wang untuk menggerakkan aktivitinya.

Ia diakui sendiri oleh Nazri Aziz yang mengatakan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan perlu mencari sumber baru berikutan peruntukan kementeriannya telah turun mendadak untuk beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan kejatuhan harga minyak dan gas.

"Kita imbas kembali peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 2014 amat besar, tetapi ia dikurangkan dengan banyak pada 2015 dan 2016," ujar beliau kepada sebuah akhbar Cina.

Rupa-rupanya di sebalik ekonomi negara selalu digembar-gemburkan berkembang baik dengan unjuran 4.3 hingga 4.8 peratus berbanding 4.2 peratus 2016 lalu, negara pimpinan Najib Razak ini masih tidak cukup dana untuk menguruskan negara.

Alangkah sedihnya kita!

Lebih sedih kerana untuk mendapatkan wang itu terpaksa pula diperkenalkan cukai pelancongan bagi mereka yang menginap di bilik hotel, tanpa mengira sama ada kepada pelancong asing atau warga tempatan. 

Sesiapa saja yang menggunakan bilik hotel, dari yang bertaraf lima bintang sehingga tanpa bintang, semuanya perlu membayar cukai pelancongan itu. Makna kata, jika sebuah keluarga miskin di Padang Rengas atau Pekan yang bermalam di sebuah hotel bajet kerana menghantar anak mereka yang melanjutkan pelajaran ke Kota Bharu, mereka juga tidak terkecuali daripada membayar cukai pelancongan itu.

Begitulah daifnya negara kita sekarang. Setelah dikenakan cukai GST dan kos sara hidup rakyat terus meningkat kerana kerajaan lebih gemar menghapuskan subsidi untuk mengelakkan dana kerajaan terus berkurangan, kini cukai pelancongan pula bakal menjerut poket mereka yang memang sedia nipis dan tidak banyak wang.

Bantahan Sarawak dan kemudian oleh Sabah terhadap cukai pelancongan tidak ubah memperlihatkan berlakunya apa yang dikata "rumah siap pahat berbunyi"  dalam pentadbiran kerajaan. 

Kita tentunya hairan bagaimana wakil-wakil BN dari kedua-dua negeri itu sebelum ini boleh menyokong pembentangan dsn kelulusan cukai pelancongan di Parlimen dan hanya ketika hendak dilaksanakan pada 1 Julan depan baru mereka sedar akan kesan buruknya.

Apakah wakil-wakil BN tidak diberi maklumat dan penerangan yang cukup mengenainya atau baru sekarang mereka sedar kesan buruknya kepada sektor pelancongan dan beban hidup rakyat?

Bermula dengan bantahan seorang menteri  Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah terhadap cukai pelancongan itu, perbalahan Nazri kini meleret pula kepada Fadilah Yusof dan Abdul Rahman Dahlan, dua menteri kerajaan Pusat dari Sarawak dan Sabah.

Ia seterusnya membawa kepada penarikan diri Sarawak dalam Lembaga Pelancongan Malaysia, berkuatkuasa serta-merta sebagaimana yang diumumkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak, semalam.

Beberapa menteri di kedua-dua negeri Malaysia Timur juga mula bercakap mengenai perlaksanaan cukai tersebut. Selain mempertikaikan kutipannya, yang lebih menyakitkan hati mereka ialah cara Nazri berhujah balas terhadap sesiapa yang tidak bersetuju dengan cukai pelancongan itu.

Kasar, sombong, angkuh, ala samseng dan memandang rendah kepada orang lain adalah "cara dan trademark" Nazri dalam berhujah. Bukan saja beliau selalu memandang rendah kepada menteri-menteri UMNO dan BN yang lebih junior daripadanya dengan alasan "aku menteri kanan" atau kepada Syed Saddiq yang dilabelnya "budak mentah dan bodoh", dengan Tun Mahathir yang pernah berjasa kepadanya pun ditudingnya sebagai "seorang yang nyanyuk dan baling gelas tak pecah".

Cara Nazri dalam berhujah dan merendah-rendahkan pihak lawan atau  mereka yang tidak setuju dengannya memanglah tidak boleh diterima. Perbezaan pendapat mesti diraikan, tetapi tidak seharusnya dibalas dengan cara samseng atau melabel macam-macam.

Sikap samseng Nazri ini bukanlah juga pertama kali dilakukannya.  Di bawah pimpinan Najib saja, sudah beberapa kali perangainya begitu memualkan dan Najib ternampak hilang kawalan terhadapnya. Walaupun mengakui dirinya sebagai menteri kanan tetapi kementerian yang diterajuinya bukanlah cukup kanan berbanding kementerian-kementerian yang lain, tetapi Nazri terlihat bebas untuk berkata kasar kepada sesiapa saja.

Sementara Nazri mungkin sudah wataknya begitu dan tidak boleh diperbetulkan lagi, tetapi dengan berbalah secara terbuka dengan menteri-menteri BN sendiri dengan cara mirip budak rempit berkelahi dan seolah-olah hanya dirinya yang betul dalam negara ini, kelemahan paling ketara ialah terletak pada Najib sebagai ketuanya.

Kenapa Najib membiarkan saja Nazri dengan aksinya yang menjengkelkan itu berterusan lagi dan lagi?

Baik tentang perbalahan terbaru ini dan beberapa kejadian sebelumnya, kenapa Najib tidak pernah memberi teguran kepadanya?

Mengapa Najib begitu untuk segan memberi teguran seolah-olah ada rahsia atau kelemahannya yang tersimpan rapi dalam poket Nazri?

Sampai bila Najib mahu menyimpan Nazri sedangkan lagi lama beliau disimpan dalam kerajaan, lagi terserlah nyata kelemahannya? 

Tidak cukup dengan pengenalan cukai-cukai baru untuk mendapatkan wang yang jelas menampakkan kelemahan Najib dalam mengurus negara, menyimpan terus Nazri hanya menggandakan lagi lemahnya Najib di mata rakyat.

1 ulasan:

  1. kalau setahun jagung, jagung tu baru lagi boleh buat benih, tapi kalau dah berpuluh puluh tahun jagung, jagung tu dah terlalu lama rasanya dah dimakan bubuk seelok eloknya dibuang saja

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA