Sabtu, 10 Jun 2017

MENGEKALKAN BN YANG BERSATU LEBIH BAHAYA DARIPADA MEMILIH PH YANG TIDAK BERSATU

Kata mereka yang ragu, Pakatan Harapan tidak boleh dipilih sebagai kerajaan kerana tiada parti yang dominan dan tidak tahu siapa ketua dalam gabungan itu.
Juga kata yang ragu, Pakatan Harapan tidak boleh jadi kerajaan yang baik kerana mereka selalu berbalah dan sukar mencapai kata sepakat, waima dalam perkara yang mudah.
Lagi kata yang ragu, Pakatan Harapan adalah gabungan yang tidak kukuh dan tidak mungkin mampu memberi khidmat yang baik kepada rakyat.
Lagi-lagi kata yang ragu, lebih baiklah kita kekalkan UMNO dan BN daripada memilih Pakatan Harapan yang selalu celaru serta tidak keruan hala tuju.
Benarkah begitu?
Pemilihan kerajaan adalah berkaitan kehidupan masa depan. Baik kerajaan yang dipilih, maka terang dan terbukalah laluan untuk membina kehidupan.
Jika masih ada yang sukar dan ragu dalam membuat pilihan dalam pilihanraya akan datang, pertimbangkan dulu fakta-fakta ini:-
– siapa yang hilangkan duit rakyat dalam kes 1MDB dan rakyat menanggung bebannya?
– siapa yang mencekik poket rakyat dengan cukai GST sambil menabur janji “harga barang akan turun kerana GST”?
– siapa yang mengurangkan bajet pendidikan dan kesihatan?
– siapa yang menyebabkan ekonomi merudum dan angka-angka yang selalu ditunjukkan hanya bagai jenaka, sedangkan rakyat tidak merasa apa-apa?
– siapa yang menghapuskan subsidi atas nama rasionalisasi?
– siapa yang menyerah banyak kontrak, menjual tanah, pelabuhan dan segala macam yang lain kepada China?
– siapa yang menyebabkan kehidupan dan poket rakyat terus terjejas, tetapi yang diberi bukan penyelesaian, sebaliknya cuma dekoder untuk melekakan?
– siapa yang menyebabkan hutang negara mencecah hampir 1 trilion sehingga setiap bayi yang lahir, bukan cahaya kehidupan, tetapi hutang yang lebih dulu menunggu?
Adakah Pakatan Harapan yang celaru dan tidak bersatu melakukan semua perkara di atas itu?
Apa guna memilih BN yang lebih bersatu dan padu, tetapi mereka juga “bersatu dan padu” dalam merompak kekayaan negara dan meninggalkan sengsara buat rakyat jelata?
Bayangkan pula akan berlaku seterusnya jika BN yang “bersatu dan padu” itu dikekalkan lagi kuasanya?
Pakatan Harapan, ambil saja contoh di Selangor dan Pulau Pinang, sebelum menang pada piliharaya 2008 dulu, memang mereka tidak menamakan siapa jadi bakal jadi ketua dan bagaimana bentuk kerajaan yang akan dibina.
Tetapi, lihat bagaimana hasilnya hari ini?
Adakah rakyat Selangor dan Pulau Pinang lebih derita?
Bandingkan pula dengan Kedah, Negeri Sembilan atau Melaka misalnya, adakah ketiga-tiga negeri itu terlalu berbeza dengan Selangor dengan Pulau Pinang?
Berapa rezab yang ada di negeri-negeri berkenaan dan berapa bonus yang mampu mereka bayar untuk kakitangan awamnya?

Hakikatnya, memang Pakatan Harapan ada masalah tertentu dan tidak sebaik BN dari segi bersatunya mereka, tetapi apabila kuasa diperolehi, mereka tahu bagaimana menguruskannya dan keutamaan terhadap rakyat tetap agenda nombor satu.
Lebih-lebih lagi Pakatan Harapan juga mempunyai ramai barisan pemimpin yang berpengalaman yang jauh lebih dipercayai berbanding Najib Razak dan Zahid Hamidi dalam menguruskan negara ini.
BN memang dilihat bersatu, tetapi mereka juga bahaya kepada masa depan rakyat. Pakatan Harapan mungkin kurang berpadu dan ada masalah tertentu, namun tidak bersatu dan kurang berpadunya mereka itu menyebabkan mereka tiada masa untuk merompak harta dan kekayaan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA