Rabu, 21 Jun 2017

Mengapa PAS mesra dengan pemimpin korup?

Kerana saya ahli DAP, berkemungkinan pandangan politik saya kepada PAS akan bias. Oleh itu, saya cuba keluar dari kerangka politik skema DAPuntuk memahami dan menilai karektor politik Islam PAS.
Saya takkan berhujah menggunakan ayat-ayat Tuhan untuk mengukuhkan hujah politik saya. Ini agar hujah saya ini bebas dikritik kembali oleh sesiapa pun tanpa rasa ragu atau bimbang akan terpesong akidahnya.
Hujah saya bukan wahyu Tuhan untuk tidak boleh dikritik. Kritiklah seribu kali pun, insyaAllah pengkritik itu akan kekal dengan akidahnya.
Krisis Keyakinan
Bagi saya PAS sedang dalam krisis keyakinan terhadap peranannya dalam siasah politik negara.
Ustaz-ustaz dan lebai-lebai PAS selama ini dilatih untuk berhujah menggunakan lojik dan retorik mereka tanpa rasa peduli dan memahami ranah politik demokrasi sekular yang bersimpang siur ini.
Apabila hujah-hujah politik mereka gagal meyakinkan masyarakat, mereka mula merasa terancam. Mereka merasa Islam mereka terancam, akidah mereka terancam dan bangsa mereka terancam.
Bagi saya, perasaan terancam ini bukan kerana politik sekular ingin menelan agama mereka, tetapi kerana ketidakmampuan mereka menawarkan penyelesaian politik dasar kepada satu bangsa yang sedang berkembang daya fikirnya.
Bermakna, ini bukan masalah kelemahan Islam, kelemahan Melayu atau kejahatan orang kafir, sebaliknya ini adalah masalah ketidakmampuan intelek lebai-lebai PAS untuk menghadam perkembangan politik semasa.
Kita melihat bagaimana lebai-lebai PAS ini merasakan dengan gaya Islam PAS, atau dengan slogan Islam PAS, atau imej Islam PAS, maka semua ini akan membolehkan masalah rakyat, masalah pengangkutan awam, pengangguran, Felda, GST atau korupsi dan sebagainya dapat diselesaikan dengan begitu mudah.

Sebagai contoh, suatu waktu dulu kita dapat lihat bagaimana Galileo Galilei membuktikan teori bahawa dunia ini bulat telah dikecam hebat di tengah-tengah hujah paderi gereja yang menyatakan Galileo ini murtad dengan teori beliau itu.
Galileo membuktikan dengan berlayar naik kapal dan mencipta teleskop untuk melihat ruang angkasa. Berbanding hujah paderi-paderi ketika itu hanya dengan bersandarkan ayat-ayat Tuhan tanpa membuat penyelidikan sebagai proses memahami wahyu Tuhan.
Di dunia Islam begitu juga, kita mengetahui bagaimana ramainya tokoh-tokoh ilmuwan Islam meneroka bumi hingga boleh mencipta jalan dan peta dunia seperti Ibnu Batutta. Mereka bukan sekadar menggunakan ayat-ayat Tuhan untuk memahami alam dan berdakwah, sebaliknya turun padang dan mengkaji dan memahami semua itu untuk merungkai masalah dan rahsia alam.
Hari ini, inilah yang sedang berlaku dalam PAS sepertimana yang berlaku di gereja-gereja di zaman gelap (Dark Ages).
Mereka enggan turun, lihat, memahami dan berbincang tentang masalah rakyat, masalah korupsi, GST dsb sebagai menyahut seruan ayat-ayat Tuhan untuk turun mendampingi masalah rakyat.
Sebaliknya, lebai-lebai PAS ini seronok beretorik dengan bermain dengan ayat-ayat Tuhan untuk membuktikan mereka ada penyelesaian yang sangat mudah. Ayat-ayat Tuhan juga digunakan untuk menutup ketidakyakinan mereka pada diri mereka pada masa yang sama, dapat membendung kritikan rakyat kepada mereka.
PAS menolak untuk mengakui kelemahan mereka, sebaliknya menyalahkan bangsa dan orang lain.
Talian Hayat
Atas ketidakyakinan inilah, mereka memerlukan talian hayat untuk dilihat relevan dalam siasah politik negara.
Umno hari ini satu-satunya parti yang sangat berkuasa dengan dana yang tidak kering, tetapi ironinya mereka berada dalam kedudukan yang paling lemah atas faktor kepimpinannya.
Ini membolehkan PAS bekerjasama untuk memastikan kelangsungan survival politik kedua mereka.
Umno ini parti yang dianggotai oleh majoriti Melayu dan Islam (kelas pemuja Najib), majoriti ahli PAS juga Melayu dan Islam (kelas pemuja Haji Hadi), mereka berkongsi kek yang sama. Syarat untuk kerjasama ini saling melengkapi.
Kerana itulah hari ini, PAS juga sudah pandai pakai tengkolok dan keris. Bukan sebab PAS sudah ada kesedaran terhadap budaya pun, mereka masih mengharamkan wayang kulit dan tarian.
Kita boleh melihat mengapa lebai PAS merasakan tidak ada keperluan untuk menukar Umno dan Najib walaupun mereka tahu, Umno ini sudah sakit tenat dengan korupsi. Mengapa?
Kerana mereka tahu, Najib memerlukan kepakaran mereka menggunakan hujah agama dan ayat-ayat Tuhan bagi menstabilkan imej Najib dimata rakyat, Melayu Islam.
Kita dapat lihat lagi apabila PAS mahu bertanding di semua kerusi pilihanraya, tetapi pada masa yang sama mereka sanggup kalah di semua kerusi asalkan Umno menang maka mereka boleh menjadi penasihat Umno dan meneruskan ceramah agama mereka.
Apakah maksud menjadi penasihat Umno atau Kerajaan Umno BN?
Sungguh pun PAS menamakan ini sebagai politik matang dan sejahtera, hakikatnya ini bermaksud politik carma (cari makan). Semua ini adalah survival politik kuasa PAS dan Umno Najib.
Ia tiada kena mengena dengan survival rakyat yang sedang sakit membengkak akibat kecuaian pentadbiran Umno BN. Ini juga tiada kena mengena dengan ancaman Evengalis kristian, ancaman DAP atau Yahudi.
Harga bagi talian hayat untuk PAS ini adalah dengan menghalalkan kecuaian dan korupsi kerajaan Najib Tun Razak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA