Selasa, 20 Jun 2017

Malam Lailatul-Qadar, saman DOJ, kemelut FGV...

Kita kini berada di 10 hari terakhir Ramadan 1438H. Sudah termahsyur bahawa 10 akhir Ramadan ini terlampau istimewa buat umat Islam kerana terdapat satu malam daripada malam-malamnya yang lebih baik daripada seribu bulan atau 83 tahun 4 bulan.
Malam itu ialah Lailatul-Qadar. Ini dinyatakan di dalam Al-Qur’an, ayat 1 hingga 5 Surah Al-Qadar.
Mengapa ia istimewa? Kerana segala ibadah pada malam tersebut bernilai tinggi malah dosa-dosa yang lepas akan diampuni. Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Barangsiapa yang menghidupkan lailatul qadar dengan solat malam atas dasar iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni”.
Bagi yang beriman dan menyedari hakikat pahala dan dosa, syurga dan neraka, timbangan mizan dan titian as-sirat, maka sewajarnya tidak melepaskan peluang ini untuk memburu Lailatul-Qadar.
Sebagai manusia biasa sudah tentu kita tidak maksum daripada melakukan dosa. Lalu ini peluang keemasan untuk memuhasabah diri, membersihkan jiwa, bertaubat, berdoa, memohon maaf dan berazam untuk tidak mengulanginya di masa hadapan.
Pemergiannya ditangisi
Sementara Lailatul-Qadar hanya datang satu malam dalam satu tahun, namun amalan yang dituntut tidak seharusnya semata-mata menjadi amalan adat atau “ritual” pada malam berkenaan. Ia wajar berterusan supaya sebati dengan diri.
Kemuncaknya bermakna kita seharusnya keluar dari Ramadan demi Ramadan setiap tahun sebagai insan yang bertambah baik dengan darjat ketakwaan yang tinggi.
Apa yang diungkapkan melalui kalimah moden sekarang sebagai “continuous improvement” atau perubahan baik yang berterusan. Atas dasar itulah juga mengapa Ramadan dinanti-nantikan dan pemergiannya ditangisi.
Puasa itu salah satu sebab terbesar menuju darjat ketakwaan yang tinggi. Kerana orang yang berpuasa telah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangannya dengan menundukkan hawa nafsu daripada segala kecenderungan yang pada waktu biasa dibenarkan seperti makan dan minum serta melatih diri mengikis kepentingan diri dengan amalan zakat, sedekah dan prihatin kepada mereka yang memerlukan.
Lebih luas lagi, orang yang bertakwa ialah orang yang beribadah dengan ikhlas, berurusniaga dengan jujur, mentadbir dengan adil dan amanah, bergaul dengan baik, mengerjakan kebajikan, mencegah kemungkaran dan berterusan bertaubat. Ini semua merupakan bentuk takwa.
Lantas kita tidak dapat mengelak daripada mengaitkan puasa dan takwa dengan pencemarannya apabila timbul pendedahan penyelewengan wang dana 1MDB sekali lagi baru-baru ini melalui saman sitaan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dan masalah tadbir urus Felda Global Ventures (FGV).
Ini berkait dengan takwa apabila wang amanah rakyat didakwa telah diselewengkan untuk kepentingan lain dalam nilai ribuan juta ringgit.
Terus tiada jawapan
Sehingga sekarang tiada jawapan atau penyelesaian tuntas kelihatan terutama tentang skandal 1MDB melainkan penafian sahaja, walaupun dunia telah mengulasnya secara terbuka.
Pada masa yang sama, kepincangan pengurusan ekonomi, pendidikan, perpaduan sosial dan pembinaan negara amat membimbangkan.
Insiden tampar, tendang, ugut, ancam dan buli sehingga ada kes kematian amat dikhuatiri. Ketidakharmonian dalam hubungan dengan yang bukan Islam juga jelas terserlah dalam bulan Ramadan.
Mungkin ia insiden-insiden terpencil dan telah dipolitikkan namun dek kerana diamnya parti pemerintah dan pemimpin negara dalam detik-detik cemas menimbulkan persoalan sejauh mana negara berada di landasan yang betul.
Parti pemerintah wajib mengambil tanggungjawab dan langkah-langkah wajar.
Justeru saya percaya ada manfaatnya untuk satu lagi aspek takwa diterangkan. Ia jarang diperkatakan.
Ini disebutkan pada awal Surah Al-Anfaal iaitu “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang.
Katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman".
Baiki hubungan, pulihkn negara
Dalam ayat ini, takwa dikaitkan dengan memperbaiki hubungan sesama insan kemudian baharulah disuruh untuk taat kepada Allah dan RasulNya, jika benar-benar kita beriman.

Kaitan antara takwa dan memperbaiki hubungan sesama insan ini turut dipetik dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi. Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, “Mahukah aku beritahu amalan yang lebih baik daripada solat, puasa dan sedekah?”
Sahabat menjawab, “Tentulah!” Rasulullah berkata, “Baiki hubungan sesama kamu kerana hubungan yang rosak itu pencukur. Bukan pencukur rambut tetapi pencukur amalan pahala agama”.
Jika di awal tadi saya sebutkan bahawa puasa diwajibkan supaya kita bertakwa, kini saya ingin mengukuhkannya lagi dengan mengatakan bahawa menjaga hubungan sesama manusia ialah antara sifat terpenting mencapai darjat ketakwaan, malah amalan yang lebih baik daripada solat, puasa dan sedekah, menurut hadis di atas.
Implikasinya ialah sementara hubungan dengan Sang Pencipta wajib dijaga, hubungan baik sesama manusia juga sangat penting.
Ini termasuk menghargai dan berbakti kepada kedua ibubapa dan orang tua, menghormati guru, berbuat baik terhadap keluarga, saudara, anak-anak yatim, orang miskin dan jiran tetangga, menghormati rakan-rakan dan lawan.
Bagi saya menjaga hubungan ini juga termasuk membela nasib mereka (rakyat), menegur demi kebaikan, mencegah demi kemaslahatan dan menasihati di atas kebenaran.
Sebab itu terdapat banyak saranan untuk kita mengutamakan hubungan dan tindakan demikian berbanding meningkatkan ibadah bersendirian kerana implikasinya besar, bukan sahaja kepada diri dan masyarakat tetapi juga kepada negara.
Tingkat darjat takwa
Cumanya sejauh mana kefahaman kita tentang konsep takwa itu? Sejauh mana kita dan pemimpin khususnya, memahami konsep takwa yang terkait bukan sahaja dengan ibadah seperti puasa dan solat tetapi lebih penting lagi dengan hubungan sesama manusia?
Dibimbangi jika tidak difahami, mungkin sia-sia pahala kita kerana terhakis akibat kerapuhan hubungan sesama manusia.
Akhirnya mengambil iktibar daripada penulisan ini dalam menjaga hubungan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan taqabballahu minna wa minkum, maaf zahir dan batin dan selamat menyambut Eidil Fitri kepada semua umat Islam, teman-teman, sanak saudara dan pembaca yang setia.
Menyambut Eidil Fitri bererti kembali kepada fitrah (asal), bersih daripada segala dosa, kesalahan, kejelekan, keburukan lalu kembalinya kita kepada asal kejadian yang suci dan mengikuti petunjuk Islam yang benar.
Semoga kepekaan kita bertambah kepada mewujudkan perubahan yang lebih baik buat masyarakat dan negara.

SYED IBRAHIM SYED NOH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA