Selasa, 6 Jun 2017

Mahkamah tolak rayuan pesuruhjaya Pas Perak, arah bayar RM6,000

Razman hari ini membuat rayuan keapda Mahkamah Tinggi Ipoh
Mahkamah sekali lagi mengarahkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membayar kos kepada Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.
Razman sebelum ini diarahkan oleh Mahkamah Sesyen untuk membayar kos sebanyak RM8,500.
Kali ini Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan beliau membayar kos sebanyak RM6,000 dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh keputusan semalam.
Ini setelah Hakim Anselm Charles Fernandis semalam menolak rayuan Razman terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membatalkan Tuntutan Balas yang dikemukakan oleh Bendahari Pas Pusat itu.
Di dalam keputusan semalam, Mahkamah Tinggi Ipoh bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa Tuntutan Balas Razman tersebut adalah cacat.
"Oleh itu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak rayuan Razman dengan kos sebanyak RM6,000 yang perlu dibayar oleh Razman dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan," kata peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri Asmuni.
Namun beliau mendapati terdapat sedikit kekeliruan dalam keputusan hakim semalam apabila Razman diarahkan untuk meminda Tuntutan Balasnya dengan memasukkan kenyataan fitnah yang didakwa telah diterbitkan oleh Mohammad Nizar yang ketika itu sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak.
"Saya mendapati terdapat sedikit kekeliruan dalam keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh semalam.
"Secara dasarnya, Hakim telah menolak rayuan Razman untuk menghidupkan kembali Tuntutan Balas yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
"Ertinya, Tuntutan Balas tersebut sudah tidak wujud lagi tetapi dalam masa yang sama, beliau mengarahkan Razman membuat pindaan ke atas Tuntutan Balas tersebut.
"Di sini yang saya maksudkan adanya kekeliruan kerana ada percanggahan," jelasnya lagi.
Kata Fitri, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Mohammad Nizar dan anak guamnya itu telah mengarahkan beliau untuk memfailkan segera rayuan terhadap keputusan hakim berkaitan isu pindaan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mempersoalkan laporan berita yang disiarkan oleh Razman dalam laman sosial Facebooknya berhubung keputusan mahkamah semalam.
Laporan tersebut mendakwa Mahkamah Tinggi Ipoh telah membenarkan rayuan Razman Zakaria terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Ipoh yang membatalkan tuntutan balasnya terhadap Mohamad Nizar.
"Laporan tersebut adalah tidak benar. Saya tegaskan di sini bahawa rayuan mereka telah ditolak dengan kos sebanyak RM6,000 yang perlu beliau bayar dalam masa tujuh hari.
"Kalau rayuan beliau dibenarkan, tidak timbul perintah beliau untuk membayar kos RM6 ribu tersebut kepada Nizar. Saya harap beliau perlu lebih teliti dengan apa yang berlaku," tegasnya.
Pada tahun 2015, Tahun lalu, Mohammad Nizar memfailkan tuntutan fitnah sebanyak RM3 juta terhadap Razman yang didakwa memfitnahnya sebagaimana artikel yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015, bertajuk: Pendekatan Nizar mirip DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA