Selasa, 13 Jun 2017

Liew: MCA yang minta bazar Kluang dipindah, bukan DAP

Anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkata bazar Ramadan di bandar itu dipindahkan ke tapak baru atas kehendak MCA kira-kira 10 tahun lalu dan bukannya DAP.
Kata Liew beliau dimaklumkan mengenai rungutan anggota MCA mengenai bazar Kluang daripada penduduk tempatan.
Justeru, katanya, dakwaan Ketua Umno Kluang, Md Jais Sarday, serta Anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim bahawa peniaga marah kepada DAP disebabkan mereka didakwa mahu bazar berkenaan ditutup adalah suatu pembohongan.
"Apa yang sebenarnya berlaku ialah, seorang anggota dewan undangan negeri MCA mengetuai protes terhadap bazar berkenaan dan menyerahkan bantahan itu kepada pegawai daerah.
"Saya terkejut bagaimana Md Jais dan Razali boleh terkeliru antara MCA dan DAP.
"Biar saya ingatkan mereka - jika terlupa - bahawa MCA ialah parti komponen BN dan rakan karib Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini Malaysiakini melaporkan Razali sebagai berkata, kehadiran Liew dan anggota DAP tidak diperlukan di Bazar Ramadan Bandar Kluang.
Md Jais pula mendakwa DAP mencetuskan kemarahan dan tentangan daripada peniaga Melayu yang membantah penutupan bazar lama sebelum ini.
"Selepas menjadi dalang utama mahu menghalau peniaga Melayu berniaga di bazar yang terletak di pusat bandar Kluang itu, sekarang mereka datang pula ke lokasi sama. Apa motif DAP sebenarnya?
"Sudah pasti kedatangan DAP dan pembangkang ke situ membangkitkan kemarahan masyarakat serta peniaga Melayu yang masih terluka dan terkesan dengan usaha mahu menghalau mereka daripada berniaga di situ.
"Ini semua adalah perangkap dan mainan politik DAP yang memang mahu pecah-belahkan orang Melayu," ujarnya.
Ia adalah rentetan daripada insiden Liew dan aktivis Pakatan Harapan dihalang daripada mengedar buah kurma di bazar berkenaan pada 11 Jun lalu.
Malaysiakini tidak dapat mendedahkan nama ahli politik MCA yang dinyatakan Liew itu sehinga mendapat reaksi daripadanya.
Menurut Liew DAP tidak mempunyai anggota dewan undangan negeri di Johor pada 2007. Mereka hanya mempunyai wakil di situ melalui kerusi parlimen Bakri pada 2008.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA