Jumaat, 9 Jun 2017

Krisis FGV berpotensi jejas keyakinan pelabur, kata Shahrir

Felda mahu memasukkan 3 wakilnya dalam lembaga pengarah FGV bagi meningkatkan sentimen dan minat pelabur.
shahrir-fgv
KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) perlu memulihkan kembali keyakinan pelabur ekoran kemelut pengurusan syarikat berkenaan, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Beliau yakin kemelut antara Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad berpotensi menjejaskan peneroka serta sentimen pasaran.
“Tiada keyakinan. FGV kena ambil langkah untuk mengembalikan keyakinan pasaran kepada syarikat itu.
“Sebab itu, pada hemat saya penyelesaian kepada perkara ini perlu kita buat dengan cepat dan tidak dilengah-lengahkan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata masalah itu juga memberi kesan ke atas pendapatan dan kepentingan peneroka yang membekalkan buah sawit kepada FGV.
Zakaria diminta bercuti sejak Selasa lepas apabila kumpulan berkenaan mula menyiasat transaksi yang dilakukan oleh anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.
Turut diarah bercuti ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha dan 2 pegawai lain, berkuat kuasa serta merta.
Saham FGV susut 7 sen kepada RM1.66 pada 12.04 tengah hari pada hari yang sama dengan 27.12 juta saham didagangkan sebelum dagangan dihentikan pada 12.05 tengah hari.
Dagangan pulih pada 2.30 petang dengan harga saham susut dan ditutup pada RM1.62 dengan 96.74 juta saham bertukar tangan.
Saham FGV ditutup pada RM1.66 pada Rabu dan turun 1 sen kepada RM1.65 pada Khamis dengan 15.07 juta saham diurusniagakan.
Shahrir berkata Felda, sebagai pemegang saham terbesar dengan pemegangan 33% kepentingan dalam FGV, mahu siasatan dijalankan secara menyeluruh, adil dan telus, memandangkan ia secara tidak langsung memberi impak kepada agensi itu.
“Setakat ini kita tidak nampak lagi impak dari isu ini. Tetapi sebagai sebuah syarikat, FGV kena berterusan untuk menjadi efisien kerana keuntungan dia bermakna lebih dividen bagi kita (Felda),” katanya
Shahrir berkata Felda melabur jumlah wang yang besar dalam FGV dan pulangan ke atas pelaburan itu merupakan sumber pendapat Felda.
Beliau berkata sumber utama pendapatan membabitkan pajakan tanah Felda kepada FGV, dengan agensi itu menerima pendapatan tetap RM250 juta setahun, dan 15% keuntungan.

“Jadi keuntungan itu sangat bermakna. Maka, FGV perlulah menguruskan ladang-ladang yang dipajak itu secara yang terbaik supaya keuntungan itu lebih tinggi. Ia bermakna kita (Felda) bergantung kepada FGV untuk pendapatan,” katanya.
Pada masa yang sama, Shahrir berkata cadangan untuk memasukkan 3 wakil Felda dalam lembaga pengarah FGV dapat meningkatkan sentimen, sekali gus meningkatkan harga saham FGV serta minat pelabur.
Beliau berkata ketiadaan wakilnya dalam FGV menyukarkan Felda mendapat maklumat terkini mengenai kumpulan itu.
“Kami tidak mempunyai wakil untuk bertindak bagi pihak Felda. Tiada sesiapa yang memberi laporan kepada Felda, atau untuk menyuarakan pendirian kami sama sekali. Setakat ini saya tidak menerima maklum balas daripada mereka (FGV). Mungkin saya perlu membuat tindakan susulan,” katanya.
Sambil mempertahankan cadangan Felda, Shahrir berkata agensi kerajaan itu tahu apa yang terbaik untuk FGV kerana terlibat secara langsung dengan industri minyak sawit,
“Kita kenal FGV, sebab syarikat ini kepunyaan Felda dulu sebelum ia disenaraikan,” katanya.
Diperbadankan sebagai syarikat sendirian berhad pada 2007 dan beroperasi pada peringkat awalnya sebagai cabang komersial FELDA, FGV disenarai di papan utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Jun 2012.
FGV membuat permulaan yang baik pada RM5.39 dan mencatat premium 84 sen melepasi harga tawaran pada RM4.55.
Penyenaraiannya merupakan tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar dunia, selepas Facebook Inc, FGV mengumpul US$16 bilion dan menarik perhatian dunia, Ia merupakan IPO terbesar di Malaysia selepas Petronas Chemical Group yang disenarai pada November 2010.
Ia juga merupakan kejayaan penting kepada negara terutama bagi peneroka Felda.

1 ulasan:

  1. Ya ALLAH..wakil FELDA tak ada dlm FGV..apa hal ni..gilobke apo..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA