Isnin, 5 Jun 2017

K'jaan tak tergesa-gesa jual tanah TRX sembang Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan untuk menjual hartanah di Tun Razak Exchange (TRX).
Menurut Najib lagi apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk mendapatkan tawaran terbaik dalam penjualan hartanah tersebut memandangkan ia akan melibatkan pelbagai institusi kewangan.
"Saya sangat gembira (dengan perkembangan TRX). Ia sekarang berjalan mengikut jadual dan kita tidak berada dalam keadaan tergesa-gesa untuk menjual hartanahnya.
"Kita mahu dapatkan tawaran yang terbaik kerana seperti yang anda tahu, banyak institusi kewangan sekarang berminat (dengan TRX).
"(Kerana) tempat ini akan menjadi kawasan pusat perniagaan seterusnya bagi Kuala Lumpur. Tempat ini juga akan menjadi satu pembangunan dengan 10 ekar taman bandar yang sangat-sangat menarik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan di TRX, Jalan Tun Razak hari ini. Selain itu, beliau berkata lagi, dengan pembangunan TRX itu juga, ia akan meningkatkan nilai dan gaya hidup di kawasan berkenaan.
"Kita akan menjadi pusat kewangan di rantau ini. Seperti yang anda tahu, CCB (China Construction Bank) telah umum untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat mereka dan kini berunding untuk membina menara mereka.
"Jadi saya harap institusi lain akan mengikuti mereka (CCB), mungkin ada hotel enam bintang di sini," kata Najib yang menegaskan bahawa TRX juga akan menjadi satu pusat tarikan kebudayaan serta hiburan dan bukan bangunan komersial semata-mata.
Terletak di persimpangan Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Ismail, TRX yang dirancang menjadi sebuah daerah kewangan antarabangsa sebelum ini turut dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Sekurang-kurangnya empat "pelaburan gred A" menara pejabat, dua hotel lima bintang, enam menara kediaman bertaraf mewah, sebuah pusat membeli-belah dan sebuah taman bandar yang besar akan dibina dalam projek berkenaan.
Antara syarikat yang telah melabur dalam TRX adalah Mulia Property Development Sdn Bhd, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT Precious Development Sdn Bhd dan Kumpulan Lendlease
Selain itu, TRX juga akan mempunyai laluan pejalan kaki yang mesra pengguna yang akan menghubungkan pusat beli-belah di Bukit Bintang. Projek ini akan disiapkan melalui beberapa fasa sehingga 15 ke 20 tahun akan datang. TRX juga dijangka akan mula beroperasi pada awal 2018 atau 2019.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA