Ahad, 4 Jun 2017

KJ lebih dikenali, Nik Nazmi pula selesa dengan dasar dan manifesto


KJ lebih dikenali, Nik Nazmi pula selesa dengan dasar dan manifesto
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi merasakan usaha kolektif lebih penting untuk memikat hati rakyat berbanding populariti individu.
PERBANDINGAN tidak dapat dielakkan, memandangkan kedua-dua mereka mewakili masa depan Malaysia serta diberikan tanggungjawab meraih undi orang muda untuk parti politik masing-masing dalam pilihan raya umum akan datang.
Dan sekiranya ini adalah pertempuran berdasarkan liputan, profile dan “like” Facebook, pastinya ia dimenangi mudah Khairy Jamaluddin, ketua Pemuda Umno dan menteri belia dan sukan yang dikenali ramai itu. Sukar sekali hari berlalu tanpa dia muncul di media atau merasmikan majlis rasmi.
Tetapi Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad tidak tergugat.
Exco Selangor itu percaya yang dia dan rakannya yang lain dalam sayap pemuda Pakatan Harapan boleh memenangi hati orang muda dengan dasar menarik yang dibentuk dan disasarkan khusus untuk mereka.
Mereka mempertaruhkan dasar yang menawarkan pilihan seperti pendidikan tinggi percuma dan perubahan dalam pembinaan rumah dan kediaman akan lebih menarik hati berbanding promosi politikus individu.
“Saya tak percaya politik personaliti. Semuanya tentang idea. Saya tak berminat dengan pertempuran personaliti tetapi dalam pertempuran idea,” kata Nik Nazmi kepada The Malaysian Insight sewaktu ditemubual.
“Jadi untuk saya, ia bukan soal menjual Nik Nazmi, tetapi menjual Keadilan dan Pakatan Harapan.”
Persoalan masih wujud samada usaha itu akan memikat rakyat kerana Khairy adalah salah seorang pemimpin paling digemari di negara ini. Dalam satu kajian dilakukan Bersatu, rakan pakatan PKR sendiri, Khairy mengalahkan ketuanya Najib Razak sebagai calon pilihan perdana menteri.
Kolektif melawan individual
Sejak dia menulis buku mengujakan yang merungkai Dasar Ekonomi Baru pada usia 28 tahun, harapan tinggi diletakkan kepada Nik Nazmi untuk menjadi wajah muda pemimpin Melayu Islam yang progresif dalam PKR.
Ketika ini, dia menyumbang bakti di Selangor di mana dia menyelaras inisiatif pendidikan seperti meluaskan program “tuisyen rakyat” negeri, dan meningkatkan pembiayaan untuk sekolah agama dan vernakular.
Dia masih berharap dengan menguruskan kerja asas dasar bakal meraih sokongan rakyat Malaysia untuk PH.

“Saya terima yang saya tak banyak (muncul di) media sosial dibandingkan dengan Khairy. Dia mungkin mempunyai lebih ramai pengikut tetapi rakyat perlu lihat secara kolektif.
“Secara kolektif kami bagus sekali (kerana) kami ada pasukan pelbagai kaum dalam Pemuda PKR dengan ramai pemimpin Cina, India dan Bumiputera bukan Melayu memegang jawatan dalam jawatankuasa pusat.
“Kami ada ramai pemimpin muda seperti (naib presiden PKR) Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dan Shamsul Iskandar Mat Akin, malah (menteri besar Selangor) Azmin Ali pun dalam lingkungan 50-an.
“Dan dalam aspek itu kami jauh lebih baik berbanding Umno atau Pemuda Umno.
Mengutamakan pasukan berbanding individu selaras dengan strategi sayap Pemuda PH yang mengemukakan dasar dikenali Tawaran Anak Muda bagi memikat hati dan fikiran belia.
Nik Nazmi berkata pendekatan itu- kolektif berbanding individu, dasar berbanding populariti- yang menjadikan kempen pilihan raya di Amerika Syarikat dan UK lebih dekat dengan orang muda.
Dia memetik contoh pesaing presiden AS Bernie Sanders dan Ketua Parti Buruh UK Jeremy Corbon sebagai misalan bagaimana pemimpin yang lebih tua, kurang karismatik mampu memenangi hati orang muda dalam negara yang idea radikal mereka.
Tetapi adakah ia akan berjaya dilakukan di Malaysia?
“Pada 2013, salah satu sebab kita berjaya ialah kerana manifesto dan dasar kita yang memikat.
“Anwar ialah salah satu faktor tetapi idea radikal yang diutarakan kita seperti pendidikan tinggi percuma, kereta yang lebih murah, “broadband” yang lebih murah. Kami meraih undi orang bandar. Dasar kami adalah kunci utama dalam kejayaan kami.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA