Sabtu, 24 Jun 2017

Kita patut bangga dengan Riza Aziz

Mohd Fudzail Mohd Nor

Dalam heboh dan hiruk pikuk mengenai pemfailan Jabatan Keadilan (DOJ) mengenai harta yang kononnya dibeli oleh gang Malaysian Official 1 (MO1) di Amerika Syarikat, kita terlupa perkara-perkara positif bersamanya.

Sebagai rakyat Malaysia yang hanya membaca Utusan, Berita dan menonton TV3, RTM, Bernama serta laman-laman prokerajaan, tentu kita wajib percaya yang tiada penyalahgunaan dana 1MDB di mana-mana planet pun.

Kita wajib percaya 100 peratus kerana kerajaan terutama perdana menteri yang dipanggil MO1 itu mana pernah berbohong walau sekalipun.

Dia dan kepimpinan Umno mengamalkan wasatiyyah dan maqasid shariah.

Kerana itu dengan penyucian 1MDB dari segala kemungkaran dan dosa-dosa oleh fitnah DOJ, WSJ, Sarawak Report, ribuan media lain di dunia (selain media perdana Malaysia) serta pembangkang, kita mesti akur yang dua tokoh usahawan negara, Jho Low dan Riza Aziz berjaya melalui usaha dan dana sendiri.

Mereka tidak langsung guna dana 1MDB walau satu sen pun.

Fakta dari peguam negara, ketua polis negara, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan disokong oleh politikus berintegriti seperti Salleh Keruak, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan serta Jamal Sekinchan.

Itu sudah cukup jelas, terang lagi bersuluh untuk meyakinkan kebenaran yang 1MDB tidak berdosa walau belum keluarkan laporan audit dan semua berkaitan dengan kes 1MDB tutup kes tanpa bukti.

Pedulikan negara-negara kafir seperti Singapura dan Switzerland yang telah membawa kes berkaitan 1MDB di mahkamah, menutup bank-bank dan meneruskan siasatan menyeluruh.

Itu semua adalah konspirasi Yahudi yang dibantu oleh pembangkang, terutama Tun Dr Mahathir Mohamad yang jelas mahu menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat ini.

Kita patut bangga dengan kejayaan dua muda anak Malaysia yang bertaraf global. Mencapai taraf selebriti dan memiliki pelbagai harta dengan sekelip mata.

Mereka lambang kejayaan transformasi dan 1Malaysia, seorang berbangsa Cina, seorang lagi Melayu-Islam yang berganding tenaga menaikkan nama Malaysia sehingga disebut-sebut seluruh galaksi.

Hairan sekali kenapa media perdana kita yang bertaraf antarabangsa, yang telus dan profesional itu tidak langsung menguar-uarkan, menghebohkan dan menjadikan dua tokoh ini di Malaysia.

Ini adalah satu kesilapan besar yang mesti diperbetulkan. Kenapa mesti malu? Mereka adalah Mark Zuckerberg dan Jack Ma untuk kita. Terutama Riza Aziz.

Bukankah dia anak Melayu pertama berjaya membolos dunia perfileman Hollywood yang dikuasai oleh Yahudi?

Dia berjaya dengan usaha sendiri, bukan melalui bantuan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), PEMANDU, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Portal Rasmi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), mahupun Jabatan Perdana Menteri.

Riza Aziz sepatutnya menjadi suri teladan dan ikon untuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) susulan kegigihan beliau sehingga berjaya di Hollywood.

Anak Melayu yang berjaya

Dengan dana sendiri Riza berjaya menerbitkan filem The Wolf of the Wall Street yang tersenarai untuk Anugerah Akademi dan Dumb and Dumber Too yang pecah panggung.

Mana ada anak Melayu yang berjaya sejauh itu? Kalau setakat Pesta Filem Malaysia atau Anugerah Skrin, itu hanya taraf kampungan.

Artis-artis kita mana ada masuk Hollywood, kali akhir dulu Ibrahim Pendek masa zaman hitam putih.

Kita patut terus doakan Riza Aziz untuk berjaya sehingga menguasai Hollywood sepenuhnya. Beliau diharapkan dapat menamatkan penguasaan Yahudi di Hollywood yang anti-Islam dan menyokong Israel.

Riza tidak perlukan bantuan kerajaan, apalagi badan-badan NGO Melayu. Kekayaan beliau dengan harta berjuta-juta serta dana Jho Low sebagai rakan kongsi ketika ini sudah cukup untuk menggegarkan Hollywood.

Mana tahu beliau boleh membawa Hollywood berpindah ke Putrajaya atau Cyberjaya, mahupun ke Kuching atau Kota Kinabalu.

Bayangkan artis-artis kita, Melayu Islam menjadi selebriti di Hollywood, kaya raya dan menguasai perfileman, rakaman lagu dan konsert. Semua itu adalah pelaburan asing langsung (FDI) untuk negara.

Kenapa TN50 tidak mengangkat Riza Aziz sebagai ikon, idola dan suri teladan untuk generasi milenial? Dia mencukupi syarat-syarat sebagai anak Melayu-Islam Malaysia.

Mengapa kita harus berdengki dengan Riza? Berilah beliau ruang menakluki dunia hiburan dunia melalui Hollywood dan mengislamkan dunia hiburan sepenuhnya.

Riza Aziz bukan sahaja layak menerima Tan Sri, Tokoh Maal Hijrah, malah segala penghormatan negara sebagai wira bangsa Melayu Islam Malaysia.

Beliau produk Dasar Ekonomi Baru yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Jangan sekali terikut-ikut dengan DOJ yang tentu dipengaruhi oleh Yahudi dan pembangkang, pengkhianat seperti Mahathir untuk mematikan agenda Riza ini.

Sebagai rakyat Malaysia, berbangsa Melayu, beragama Islam dan sayangkan perdana menteri serta isteri, keluarga yang baik-baik itu, ayuhlah kita mendoakan di hari-hari terakhir Ramadan ini supaya Riza Aziz, tokoh Melayu Hollywood yang wasatiyah, maqasid shariah terus berjaya menjadi legenda Hollywood, mogul dunia hiburan dunia dan menyelamatkan industri perfileman dari terus dikuasai Yahudi.

1 ulasan:

  1. Untungla rakyat klu dpt PM yg xpernah berbohong.
    Cukupla dulu rakyat..diperbodohkan

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA