Selasa, 13 Jun 2017

Kenyataan pemimpin UMNO Johor suburkan budaya samseng

Kenyataan Datuk Md Jais Sarday, Adun Mahkota di media, sebenarnya mengeruhkan lagi keadaan berhubung insiden kekasaran yang berlaku di tapak Kluang tempoh hari.
Beliau seharusnya membiarkan pihak polis menyiasat kes itu tanpa gangguan dengan kenyataan seperti ini.
Dalam kenyataannya, Jais Sarday cuba menegakkan benang yang basah dengan mengatakan bahawa tindakan melawat dan mengedar kurma di Bazar Ramadan tersebut oleh Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan rombongan sebagai satu tindakan provokasi yang mencetuskan insiden kekasaran.
Ini merupakan satu hujah yang sangat menjengkelkan kerana kenyataan beliau ini seolah-olah mewajarkan kekasaran penyokongnya kepada orang lain. Adakah ini mesej yang ingin beliau sampaikan kepada pihak polis dan rakyat?
Adakah maksud beliau, sesiapa boleh bertindak kasar hanya kerana mereka tidak suka Ahli Parlimen bertemu dengan rakyat dan mengedar buah kurma di tempat awam, begitu?
Jais Sarday menggunakan hujah lapok berhubung isu ini apabila membangkitkan isu lama bahawa terdapat bantahan daripada pemimpin DAP kawasan tersebut pada pada 2007. Namun, mengapa beliau tidak menamakan pemimpin DAP yang membuat bantahan itu secara jelas?
Dan beliau memberitahu tahu bahawa ketika tahun 2007, pemimpin DAP yang beliau maksudkan itu ‘memberi arahan’ berpindah.
Soalan saya, sejak bila pemimpin DAP Johor pada 2007 mempunyai kuasa memberikan arahan sedemikian? Dan hari ini 2013, selepas lapan tahun, kuasa apa yang ada pada Adun-Adun DAP di kawasannya? Nak masuk mesyuarat penuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pun tak dibenarkan.
Keadaan ini tambah caca marba apabila Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim turut senada dengan Jais Sarday dengan memberikan hujah dangkal sebagai seorang Ahli Parlimen.
Beliau membuat rasional mengatakan “Kalau rumah kita orang nak masuk, kita tak benarkan, maka kena hormatlah. Takkan dah orang tak bagi masuk, kita nak masuk juga”.
Demikianlah hujah Razali Ibrahim.
Soalan saya cukup jelas dan mudah, sejak bila kawasan awam ini menjadi rumah atau pejabat UMNO Kluang? Adakah sebarang pewartaan yang dibuat oleh Menteri Besar atau Majlis Perbandaran Kluang mengatakan Bazar Ramadan itu rumah UMNO Kluang?
Adakah Menteri Besar Johor bersetuju dengan pandangan dua orang wakil rakyatnya ini? Jika Datuk Seri Khaled Nordin bersetuju, beliau harus segera mewartakan mana-mana Bazar Ramadan di Johor sebagai ‘Rumah UMNO’. Ini akan memudahkan pihak lain untuk tahu dan mengelak dari memasukinya. Keadaan akan menjadi lebih mudah.
Sikap yang sama ini ditunjukkan oleh Razali Ibrahim dengan memberi gambaran bahawa tindakan kasar puak-puak UMNO itu boleh dijustifikasikan hanya kerana puak-puak UMNO tidak suka.
Yang nyata, mereka yang bertindak berkasar dan menghalang itu adalah dua tiga kerat budak-budak dia, bukan ribuan rakyat.

Dua orang wakil rakyat UMNO ini harus rasional dalam perkara seperti ini. Jangan kerana politik, mereka boleh mewajarkan sebarang kekasaran oleh para penyokongnya ke atas Ahli Parlimen atau orang lain.
Jika ini dibiarkan ia akan menjadi budaya samseng yang tak bertamadun. Takkanlah berlainan faham politik, maka Ahli Parlimen kawasan tidak boleh melawat kawasannya ditempat awam? Lepas itu Ahli Parlimen disalahkan kerana tak hirau halangan puak-puak yang tak sehaluan dengan parti politik. Bukankah ini tidak betul.
Saya menyeru semua pihak agar bersikap rasional dan berlapang dada. Aktiviti mengedar kurma ini sekadar untuk merapatkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat. Apatah lagi di bulan ramadan, semua pihak diminta boleh beramah mesra sebagai simbol penyatuan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA