Selasa, 27 Jun 2017

Kedai runcit semakin tenggelam, gagal bersaing pasar raya moden


Kedai runcit semakin tenggelam, gagal bersaing pasar raya moden
Walau ada kedai runcit yang masih bertahan, ia dijangka berakhir dengan persaingan sengit daripada pasar raya lebih besar dan menarik seperti KK Mart dan 99 Speedmart.
IA wujud sejak bertahun lamanya, tetapi prospek kedai runcit tradisional kelihatan semakin suram kerana banyak dijangka ditutup dengan kedatangan pasar raya baru yang lebih moden.
Walaupun, sesetengahnya masih mampu bertahan disebabkan pelanggan tetap yang ada, tren itu dijangka berakhir dengan persaingan sengit seperti KK Mart, 99 Speedmart dan lain-lain kedai lebih menarik.
Pengenalan pasar raya moden bukan satu-satunya masalah kerana ramai berdepan pelbagai isu seperti pewaris, kadar sewa yang tinggi dan kos lain.
Bagi pemilik pasar mini As-Sakhiya, Abdul Alim Sidique, 59, mengakui bertungkus-lumus dalam perniagaan untuk terus mempertahankan kedainya.
Beliau berkata dalam tempoh dua tahun lalu, lima kedai runcit di kawasan Taman Melawati ditutup kerana terpaksa bergelut untuk terus hidup.
"Sejak tiga tahun kebelakangan ini, jualan saya dapati turun hingga 30%. Di kawasan ini dulu ada enam kedai runcit dan kini hanya saya yang masih tinggal," katanya kepada The Malaysian Insight.

Abdul Alim Sidique terpaksa bekerja keras untuk memastikan kedai runcitnya terus bertahan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Jun, 2017.
Abdul Alim Sidique terpaksa bekerja keras untuk memastikan kedai runcitnya terus bertahan.
Alim berkata untuk terus bertahan, mereka menyediakan perkhidmatan tambahan kepada pelanggan seperti penghantaran barangan ke rumah.
"Kelebihan kedai runcit kami, lebih kenal pelanggan kami. Bukan seperti pasar raya yang datang dan pergi. Kami juga buat servis hantar barang ke rumah dengan syarat harga barang dibeli melebihi RM50," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) mengatur strategi agar setiap peruncit bergabung membeli barangan secara pukal untuk mendapatkan harga lebih murah.
Penasihat Mawar, Bazeer Ahmed berkata barang yang tahan sekurang-kurangnya enam bulan juga menjadi pilihan peruncit.
“Selepas kemunculan pasar raya besar, kita peniaga kecil tidak dapat bersaing. Mereka beli barang 1,000 kotak, kami hanya 200 kotak. Harga lebih mahal. Kami tidak dapat membeli barang secara pukal seperti mereka.
“Jadi, setiap peruncit digalakkan berkongsi untuk pembelian ini.
“Sebagai contoh, barangan seperti susu tepung bayi atau susu cair, kicap, kita beli bersama kedai runcit lain untuk mendapatkan harga lebih murah. Barangan juga perlulah mempunyai tarikh luput sekurang-kurangnya enam bulan.
“Kami jual barang alternatif yang jarang digunakan di mana tidak dijual di pasar raya. Semua benda kami jual seperti kapur barus,” kata pemilik Syarikat Sri Alam.
Strategi itu turut dilakukan Shukriah Mat Ali, 46, yang sudah hampir 20 tahun mengusahakan Pasar Mini As-Syakirin bersama suaminya.
Kedainya turut menyediakan perkhidmatan alternatif seperti menjual barangan basah untuk pelanggan.
“Kami ada lori, jadi setiap pagi kami akan ambil sayur dan ayam di pasar. Ia tidak boleh disimpan kerana pelanggan mahu yang segar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shukriah turut menambah, perkara paling penting adalah pemilik perlu sentiasa memantau dan mengetahui semua keperluan di kedai.
Malah, beliau juga sudah melatih beberapa anaknya untuk mewarisi perniagaan tersebut.
“Kami hampir menutup kedai beberapa tahun lalu yang berpunca daripada masalah pekerja yang tidak amanah tetapi lepas itu kami bangkit.
“Kami perlu menjaga kaunter bayaran sendiri, dan paling penting orang yang kita percaya iaitu waris sendiri untuk menjaga kedai.
“Kita tidak boleh berharap kepada pekerja sahaja. Pemilik kedai perlu tahu melakukan semua kerja,” katanya lagi.
Beri perkhidmatan terbaik
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng sedar kebanyakan kedai tidak mempunyai perniagaan yang bagus dan menasihati ahlinya agar memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan yang lebih baik.

"Kini, ia mengenai menyediakan perkhidmatan yang baik dan bukannya menjual barang jika mereka mahu terus bertahan.
"Kami menasihatkan ahli bersikap merendah diri. Jangan biadab dan akhirnya pelanggan baru akan menjadi pelanggan setia mereka," katanya.
Hong berkata persatuan itu mempunyai hampir 4,000 ahli di seluruh negara.
Beliau berkata nasihat utama kepada ahli ialah memberi tumpuan kepada operasi sekurang-kurangnya satu atau dua kedai untuk terus bertahan.
"Beberapa ahli kami mempunyai lebih daripada dua kedai dan mereka bergelut untuk bersaing dengan kedai moden yang lain.
"Masalah utama adalah perbelanjaan. Mereka bukan sahaja perlu membayar gaji, membeli stok, tetapi juga bil air dan elektrik. Untuk terus bertahan, mereka perlu mengurangkan cawangan," katanya.
Hong juga mengakui isu pewaris adalah satu lagi masalah yang mereka hadapi.
"Daripada 4,000 ahli kami, hanya 20% ahli keluarga mereka sangup menerima perniagaan. Kebanyakan mereka dari Kelantan, Kuantan dan Terengganu. Jika anak-anak tidak mengambil alih, lebih banyak kedai dijangka ditutup. Satu-satunya jalan keluar ialah menjual perniagaan mereka dan bersara," katanya.
Masa depan suram
Pakar ekonomi Dr Hoo Kee Ping berkata dengan keadaan ekonomi semasa, sukar bagi kedai runcit untuk terus bertahan.
Beliau berkata ramai yang menutup kedai kerana anak-anak tidak mahu meneruskan perniagaan keluarga dan kadar sewa yang meningkat saban tahun.
"Anak-anak tidak mahu mengambil alih tugas meneruskan perniagaan kedai runcit. Golongan belia kini lebih cenderung mencari pekerjaan kolar putih.
"Satu lagi isu ialah generasi lebih tua yang sering menjadi pelanggan kedai runcit seperti ini. Apabila mereka tiada kelak, generasi muda tidak akan pergi ke kedai seperti ini. Mereka lebih suka ke kedai yang lebih moden," katanya.
Peniaga kedai runcit, Shukriah Mat Ali giat melatih beberapa anaknya untuk mewarisi perniagaan keluarga apabila beliau dan suami bersara kelak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Jun, 2017.
Peniaga kedai runcit, Shukriah Mat Ali giat melatih beberapa anaknya untuk mewarisi perniagaan
 keluarga apabila beliau dan suami bersara kelak. 
Hoo berkata isu lain yang melanda peniaga adalah kadar sewa tinggi di kawasan bandar yang meningkat dua atau tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun lalu.
"Di bandar sewa lebih daripada RM20,000. Bagaimana mereka akan terus hidup? Di pinggir bandar pula kira-kira RM10,000, tetapi sewa terus meningkat.
"Kita bercakap di pinggir bandar, di mana di Overseas Union Garden di Jalan Klang Lama yang sebelum ini ada 20 kedai tetapi kini hanya tinggal lima," katanya.
Hoo menambah kedai ubatan tradisional pula sebaliknya.
"Mereka tahu untuk terus bertahan, mereka perlu mengubah jenis perniagaan yang ada. Ini berlaku dalam tempoh 20 tahun lalu.
"Beberapa kedai di pinggir bandar, dapat bertahan kerana mempunyai hubungan simbiotik dengan pelanggan dan persaingan yang sangat minimum daripada pasar raya.
"Alasan lain adalah kerana mereka masih boleh memberi kredit kepada pelanggan. Anda tidak boleh mendapatkan kredit daripada pasar raya," katanya.

1 ulasan:

  1. SAYA SEKELUARGA INGIN MENGUCAPKAN BANYAK TERIMAH KASIH KEPADA AKI NAWE BERKAT BANTUANYA SEMUA HUTANG HUTANG SAYA SUDAH PADA LUNAS SEMUA BAHKAN SEKARAN SAYA SUDAH BISA BUKA TOKO SENDIRI,ITU SEMUA ATAS BANTUAN AKI YG TELAH MEMBERIKAN ANKA JITUNYA KEPADA SAYA DAN ALHAMDULILLAH ITU BENER2 TERBUKTI TEMBUS..BAGI ANDA YG INGIN SEPERTI SAYA DAN YANG SANGAT MEMERLUKAN ANGKA RITUAL 2D 3D 4D YANG DIJAMIN 100% TEMBUS SILAHKAN HUBUNGI AKI NAWE DI 085-218-379-259 ATAU KLIK SITUS KAMI PESUGIHAN TAMPA TUMBAL NYATA

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA