Sabtu, 3 Jun 2017

'Kami akan putuskan langkah seterusnya dakwaan RM9.5j untuk peguam'

Peguam mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, N Surendran berkata mereka akan membincangkan tindakan undang-undang seterusnya, susulan dakwaan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Shafee adalah peguam yang mengetuai pihak pendakwaan yang berjaya mensabitkan tuduhan liwat terhadap Anwar.
"Kami akan bertemu dengan Anwar dan segera melihat langkah seterusnya susulan dakwaan itu.
"Kami akan umumkan tindakan yang akan diambil tidak lama lagi," kata Surendran ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau berkata mereka akan bertemu dengan Anwar awal minggu depan untuk membincangkan perkara itu.
Katanya, beliau juga difahamkan laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan itu dan mereka sedang menunggu pihak polis untuk segera menyiasatnya.
"Ia adalah suatu perkara yang sangat serius. Khususnya ia memberi kesan kepada anak guam kami, Anwar," katanya.
Sarawak Report sebelum ini telah membuat dakwaan bahawa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib dalam dua bayaran - pada 11 September 2013 dan pada 17 Februari 2014.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Abdul Rahman telah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.
Anwar juga menggesa supaya perkara itu disiasat oleh pihak berkuasa.
“Perkara ini perlu disiasat pihak berkuasa pada kadar segera. Apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Najib kepada akaun peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan Najib untuk mengendalikan pendakwaan terhadap saya?” soal Anwar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui PKR.

Putrajaya, dalam satu keputusan yang mengejutkan pada 22 Julai 2013, melantik Shafee untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Rayuan dan bukannya berdasarkan amalan konvensional yang bergantung kepada khidmat pendakwa raya.
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.
Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan tuduhan liwat terhadap Anwar.
Malaysiakini, yang tidak menyiarkan nama Shafee, dalam laporan Sarawak Report itu semalam, telah cuba menghubunginya untuk mendapatkan ulasannya melalui pelbagai saluran tetapi tidak berjaya.

1 ulasan:

  1. Apa kah kaitan rm9.5 juta dgn hukuman keatas anwar? Yg mendapati dan seterusnya menghukum anwar ialah panel hakim bkn shafee. Soal dia dpt upah tu soal lain. Aku tak faham.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA