Isnin, 12 Jun 2017

Insiden bazar Ramadan: Gerakan kempen adu domba

Kejadian Ahli Parlimen (MP) Kluang, Liew Chin Tong, dihalau ketika mengagih-agihkan kurma di sebuah bazar Ramadan Sabtu lalu tidak wajar dilihat sekadar gangguan politik.
Sebaliknya kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ia menggambarkan usaha mengadu domba dan menyemai salah faham yang semakin giat dijalankan pihak tertentu.
Kata anggota parlimen Permatang Pauh itu, selain Liew, turut menjadi mangsa usaha mengadu domba itu ialah MP Subang, R Sivarasa, MP Seputeh, Teresa Kok dan Anggota Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh.
"Ini bukan perkembangan yang sihat untuk masyarakat majmuk di negara kita.
"Oleh itu, PKR menggesa semua pihak supaya menjaga keharmonian dan perpaduan di kalangan masyarakat serta menolak budaya perkauman dan tindakan ekstremis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 10 Jun lalu Liew serta rombongan Pakatan Harapan disekat daripada meneruskan aktiviti berkenaan oleh sekumpulan lelaki kira-kira jam 5.45 petang.
Mereka turut dimaki hamun, dikasari dan dihalau oleh sekumpulan pemuda.
Lepas peluang berdakwah
Seorang daripada lelaki itu didakwa individu sama pernah menghalang mereka memasuki bazar Ramadan Kluang itu pada 2014.
Ekoran laporan polis yang dibuat pihak berkuasa menahan dua lelaki selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang kira-kira jam 1.40 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata hasil soal siasat seorang daripada suspek mengaku menumbuk anggota rombongan terbabit ketika dia mengedar kurma, manakala seorang lagi suspek mengaku menolak mangsa yang lain.
"Empat lagi suspek sedang dikesan dan akan ditahan tidak lama lagi bagi membantu siasatan kes ini," katanya semalam.
Dr Wan Azizah berkata Ramadan sepatutnya dimanfaatkan untuk merapatkan hubungan sesama manusia dan bukan memupuk kebencian.
"Tindakan kelompok itu jelas tidak berasaskan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW, serta tidak selaras dengan semangat Ramadan.

"Bulan ini menyediakan ruang untuk mendalami Islam - sama ada di kalangan Musim atau pun bukan - serta peluang terbaik untuk berdakwah dengan hikmah dan berhemah.
"Malangnya peluang ini telah dilepaskan akibat tindakan sekelompok yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Dr Wan Azizah menjelaskan, niat Liew mengedar kurma adalah satu yang baik dan tidak wajar dihalang walaupun beliau bukan beragama Islam kerana ia cuma menyantuni warga Muslim di sekitar Kluang.
"Malah mengedar buah kurma, bubur lambuk malah juga juadah lain telah menjadi kelaziman bukan sahaja bagi pimpinan politik malah pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA