Isnin, 12 Jun 2017

Ini bukan soal ‘jantan’, tetapi tingkah laku, kata Rahman

Abdul Rahman Dahlan berkata senioriti dan keberanian tiada kaitan dengan isu berbangkit, yang boleh diselesaikan secara santun dan berhemah.
rahman-dahlan-nazri-aziz
PETALING JAYA: Tidak lama selepas dibidas Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu cukai pelancongan dan kritikan terhadap seorang menteri Sarawak, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini menulis soal senioriti dan keberanian tiada kaitan dengan isu berbangkit.
“Ini bukan soal ‘jantan’ ‘betina’, ini soal santun dan hemah. Dalam Kabinet tiada istilah lama atau baru, ada masa idea PM pun boleh dibantah, apatah lagi menteri jantan yang sudah lama,” tulisnya di akaun Twitter, tanpa menamakan sesiapa.
Bagaimanapun dalam laporan Malaysiakini hari ini, Nazri dilaporkan membidas Menteri Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kerana melibatkan BN Sarawak ke dalam pertelingkahan mereka.
Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Fadillah Yusof hari ini berkata Nazri tidak wajar mengeluarkan kenyataan kasar terhadap Karim.
“Ini antara saya dengan dia, mengapa nak bawa satu negeri terbabit sama? I am a jantan (man), OK?..Biar dia jawab. Jadilah lelaki dan jawab. Saya mahu Abdul Karim jawab saya. Jangan jadi pengecut dan libatkan orang lain,” balas Nazri, lapor Malaysiakini.
Rahman berkata demikian selepas Nazri yang diserang ahli politik Barisan Nasional dan pembangkang selepas menggelar Menteri Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah “setahun jagung”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebelum ini menulis di Twitter: “Datuk Karim mungkin baru sebagai menteri Sarawak tetapi dia sudah pasti ahli politik Sarawak berpengalaman dengan bertahun-tahun pengalaman sebagai YB yang dipilih.
Nazri bagaimanapun membalas balik kenyataan Rahman dengan berkata Rahman juga menteri “baru dan tidak berpengalaman” dan tidak perlu masuk campur dalam pertelingkahannya dengan Karim.
“Dia (Rahman) adalah menteri baru. Beliau memegang satu jawatan dan ditukar kepada jawatan lain tidak lama kemudian. Jadi, saya fikir lebih baik dia tidak terlibat dan biarkan saya selesaikan perkara ini dengan Karim.

“Dia tidak perlu menasihati menteri kanan dan saya tidak perlukan bantuannya. Lagipun dia dari Malaysia timur, dia tidak neutral,” kata Nazri.
Pertelingkahan antara mereka bertiga tercetus selepas Karim tidak setuju dengan pelaksanaan cukai pelancongan baru yang akan bermula pada 1 Julai ini. Ia akan menyaksikan hotel mengenakan bayaran tambahan RM2.50 hingga RM20 bagi penginapan semalaman.
Karim berkata cukai baru itu contoh kerajaan persekutuan mengenakan undang-undang cukai ke atas Sarawak tanpa berunding terlebih dahulu, dakwaan yang mengundang kemarahan Nazri.
“Anda (Karim) tidak perlu bercakap besar dalam politik. Jika anda mahu menunjukkan samseng, kita adalah samseng lagi besar,” kata Nazri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA