Sabtu, 10 Jun 2017

Iktibar pilihan raya umum UK untuk Pakatan Harapan

Sama ada Parti Buruh telah memenangi pilihan raya umum UK atau tidak, sama ada pemimpinnya Jeremy Corbyn menjadi Perdana Menteri atau tidak, ia telah mencatatkan satu kejayaan besar kepada golongan progresif.
Sebelum Parlimen UK dibubarkan tujuh minggu lalu, Konservatif menerajui tinjuan pendapat dengan 21 mata. Ia adalah jurang yang amat luas. Banyak pihak meramalkan Buruh akan kalah teruk. Namun, beberapa minggu sepanjang kempen, Buruh mengejutkan banyak pihak apabila berjaya merapatkan jurang tersebut.
Tiada siapa menyangka Buruh pimpinan Corbyn – yang dituduh oleh Konservatif, malah di kalangan elit Buruh sendiri, sebagai pemimpin lapuk, ketinggalan zaman serta tidak faham ekonomi semasa – berjaya menarik perhatian pengundi, khususnya golongan muda.
Antara keberanian Corbyn ialah mengemukakan manifesto Buruh yang jelas dan berani. Ia tidak segan-silu untuk kembali kepada asas perjuangan sosialis, termasuk mencadangkan usaha memiliknegarakan semula perkhidmatan-perkhidmatan asas seperti keretapi, pos, kesihatan dan air.
Antara lain, Buruh juga mahu:
  • Menurunkan umur pengundi daripada 18 kepada 16 tahun;
  • Menghapuskan yuran pendidikan universiti untuk menjadikannya percuma;
  • Mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat;
  • Menghentikan jualan senjata kepada Arab Saudi;
  • Mengenakan cukai tinggi kepada kelab bolasepak yang membayar gaji tinggi kepada pemain.
  • Menambah peruntukan perkhidmatan kesihatan awam (NHS) serta menarik balik penswastaan program-program NHS;
  • Menaikkan cukai korporat dan mengurangkan cukai perniagaan kecil;
  • Menyediakan makanan berkhasiat percuma untuk kanak-kanak sekolah;
  • Meluaskan khidmat percuma jagaan anak;
  • Menyediakan jaminan bayaran pencen yang lebih adil;
  • Membina 100,000 unit rumah mampu milik setiap tahun;
  • Menanam sejuta pokok; dan
  • Memberi hak yang lebih kepada penyokong pasukan bolasepak menentukan cara kelab ditadbir.
Dalam hal ini, apa erti kejayaan kempen Buruh kepada politik Malaysia?
Sudah tentu politik Britain berbeza dengan Malaysia. Amalan demokrasi dan kebebasan di negara kita masih di takok lama, dan perkauman serta politik agama yang sempit semakin menjadi-jadi.
Namun, yang boleh dijadikan teladan adalah untuk menguji sejauh mana kesungguhan Pakatan Harapan mahu memenangi pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Untuk menarik perhatian pengundi, Pakatan Harapan perlu berani keluar daripada gelanggang binaan BN. Peraturan ciptaan BN biasanya memaksa semua pihak menggunakan politik kaum dan agama yang disempitkan maknanya.
Kesan propaganda media BN sejak lebih separuh abad akhirnya melahirkan minda pengundi yang dikuasai dengan hegemoni UMNO berteraskan kaum dan agama serta taktik menakutkan pengundi yang berbeza pandangan dengan mereka. Kejadian ancam, ugut, tampar, tumbuk, tendang, terajang sejak pilihan raya umum 2008 semakin menjadi-jadi.
Pimpinan Pakatan tidak harus takut untuk melawan arus. Di Britain, Buruh tetap mara walaupun media di negara itu mengutuk cadangan memiliknegarakan kembali aset-aset awam. Malah, pakar ekonomi mengkritik cadangan menyediakan perkhidmatan percuma kepada rakyat, atas alasan ia akan meningkatkan hutang dan defisit negara.
Parti Buruh tenang sahaja menjelaskan bahawa semua pelaksanaan cadangan itu mampu ditampung dengan kenaikan cukai korporat dan cukai terhadap pihak-pihak yang mengaut keuntungan besar. Ia juga bercadang untuk menubuhkan tabungan tertentu bagi melaksanakan cadangan-cadangan tersebut.
Ini akan membolehkannya menyediakan khidmat-khidmat percuma, termasuk menghapuskan yuran pendidikan universiti. Malah, cukai nilai tambahan VAT akan dikenakan kepada sekolah swasta bagi membolehkan hasil kutipannya digunakan untuk menyediakan makanan percuma kepada murid-murid sekolah awam.
Di Malaysia, Pakatan Harapan perlu mengetepikan politik kaum dan agama. Yang harus menjadi tumpuan adalah penyediaan keperluan-keperluan ekonomi untuk semua rakyat, terutama mereka yang makan gaji dan mereka yang mempunyai perniagaan kecil; dan tentunya untuk mereka yang masih bersekolah dan menuntut di pusat pengajian tinggi.
Semua ini mampu dilaksanakan jika pimpinan Pakatan Harapan tidak cepat melatah mahu menonjolkan ego setiap kali diserang oleh parti lawan. Masanya sudah tiba untuk ketepikan gangguan dan alihan pandangan tersebut, dan tumpukan kepada cadangan serta cara untuk memulihkan ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Juga jangan berlagak seperti pakar ekonomi kelas menengah, iaitu cuba menyediakan program untuk rakyat sedangkan kita sendiri tidak begitu faham apa yang rakyat perlukan.
Percayalah, rakyat tidak kisah sangat siapa yang akan menjadi Perdana Menteri atau siapa yang berada dalam Kabinet bayangan, atau siapa bakal menjadi menteri dalam kerajaan baru. Ini semua hanya dipedulikan oleh penagih gosip politik. Ini semua hanya sembang kencang politik.
Yang rakyat benar-benar ingin tahu ialah apa tawaran Pakatan Harapan kepada mereka. Pengundi mahu kehidupan diri dan keluarganya terjamin, kos sara hidup terkawal, dan tidak teruk terjejas akibat tekanan ekonomi.
Inilah hal asas yang patut dikemukakan oleh Pakatan Harapan, termasuk rancangan untuk memulihkan ekonomi dan pentadbiran negara, serta mengurangkan amalan rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa.
Tidak perlu lagi membuang masa dengan berbalah siapa akan jadi PM, siapa duduk dalam Kabinet bayangan, dan siapa bakal jadi menteri. Hentilah berangan-angan, kembali ke dunia yang nyata. Tumpukan kepada keperluan rakyat.
Setidak-tidaknya, ini adalah sesuatu yang boleh dipelajari daripada kesungguhan  Buruh UK memenangi hati pengundi. Parti Buruh tidak takut kepada “realiti politik”, malah berani membuat tawaran progresif kepada pengundi walaupun dikritik oleh pakar-pakar ekonomi.

1 ulasan:

  1. Malaisia pengundi semua bodo 2..Mana Ada pikiaq.. pikiaq perut.. rambut..muka..Ada la..nasib2 .. anak 2..Mana Ada..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA