Ahad, 25 Jun 2017

IGP Wajib Siasat 1MDB, Jangan Lindungi Perompak Atasan Negara


Oleh Saiful Izham Ramli
Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) diarahkan untuk melihat 'beberapa bahagian' dalam siasatan mereka berhubung tuduhan penyelewengan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa dana 1MDB telah digunakan untuk membiayai pelbagai pembelian barang-barang mewah.


TS Khalid berkata, siasatan telahpun bermula tahun lalu (2016) selepas pembentangan laporan Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang memasukkan petikan daripada laporan itu ke dalam dapatannya, dan kemudian dibentangkan di Parlimen pada April 2016, tahun lalu. Laporan Ketua Audit Negara itu kemudiannya diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
1. Saya berharap TS Khalid dapat menyiasat isu yang melibatkan maruah negara secara menyeluruh, telus dan sempurna.
Seluruh negara sedang bercakap soal dakwaan wujud "penyalahgunaan" dana 1MDB yang ada kaitan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
TS Khalid tidak boleh sesekali mengambil sikap acuh tidak acuh dalam menangani skandal terbesar yang melibatkan syarikat pelaburan strategik negara yang bermasalah, iaitu 1MDB ini.
Beliau juga tidak boleh mengecewakan harapan seluruh rakyat Malaysia yang inginkan kebenaran dan keadilan ditegakkan demi mengembalikan maruah negara, sekiranya pihak polis gagal bertindak secara telus dan tuntas.
Siasatan perlu dibuka semula dan dilakukan segera tanpa sebarang rasa takut atau pilih kasih terhadap semua penjenayah, tanpa mengira status dan kedudukan mereka.
Memandangkan TS Khalid dijadual bersara wajib pada September tahun ini, sesuatu harus dilakukannya segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi Polis Di-Raja Malaysia.
2. Apa yang saya nampak ketika ini, ianya seolah-olah sudah menjadi suatu kelaziman atau 'trend' pihak polis untuk hanya menyiasat pembocor maklumat, dan bukannya si pelaku yang didakwa dalam skandal tersebut.
Najib Razak dirujuk sebagai 'Malaysia Official 1' (MO1) sebanyak 36 kali dalam saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, untuk merampas aset yang dipercayai diseleweng dari syarikat pelaburan strategik 1MDB.
TS Khalid sepatutnya menyiasat apa yang didakwa oleh DoJ sebelum ini.
Mengapakah PDRM seolah-olah tidak berminat untuk menyiasat sedangkan sudah jelas pendedahan yang dibuat bahawa lebih daripada AS$4 bilion telah disalahgunakan dari syarikat pelaburan strategik 1MDB dan sejumlah AS$731 juta telah didakwa secara tidak langsung oleh DoJ, telah dimasukkan ke dalam 'poket' Perdana Menteri?
Dana syarikat pelaburan strategik 1MDB didakwa telah diselewengkan untuk membeli sebuah kapal layar, perniagaan pusat kecergasan, lukisan mewah, barangan kemas dan berlian.

3. Pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat laporan polis berhubung 1MDB berkaitan dakwaan salah urus dana syarikat itu, telah turut disertai oleh Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun sehingga kini tiada sebarang dakwaan dibuat dan kes dakwaan-dakwaan penyelewengan ini seolah-olah tergantung tanpa berkesudahan dengan status 'tiada kes' dan/atau 'tutup kes'.
Tetapi, apa yang cukup menghairankan, di sebalik pendedahan yang menggemparkan hasil siasatan DoJ tersebut, Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali sebaliknya terus mengulangi bahawa pihaknya tidak menemui sebarang kesalahan jenayah.
Manakala pada masa yang sama, SPRM pula menyeru rakyat Malaysia untuk terus melapor salah laku dan penyelewengan jenayah penggubahan wang haram 1MDB kepada pihak mereka.
Adakah SPRM berani melakukan siasatan jika benar apa yang dilaporkan rakyat itu benar dan wujud salah laku?
Persoalannya kini, adakah MO1 dan isterinya akan disiasat?
4. Walau apa pun penafian dan alasan yang diberikan, saya berharap kes ini dapat disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur pecah amanah dan penipuan.
5. Saya juga menyarankan agar satu Suruhanjaya Di-Raja yang melibatkan semua pihak yang berkepentingan di dalam negara ini, segera ditubuhkan, dengan penyiasatan dan pembicaraan secara telus dan terbuka bagi mengembalikan keyakinan rakyat negara ini terhadap institusi keadilan di dalam negara ini.

Saiful Izham Ramli
Pengarah Strategi
Majlis Pimpinan KEADILAN Kedah
Parti KEADILAN Rakyat

3 ulasan:

  1. Tak guna saiful cadang tubuh Suruhanjaya Di-Raja kerana hanya pm boleh izin penubuhannya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betoi tu...PM yg ada kuasa untuk adakan atau tiadakan apa2 RCI pun.
      Dalam rakyat duk cakap2 hal penyelewengan dana 1MDB, tup-tup RCI utk siasat kerugian forex akan ditubuhkan.

      Padam
  2. Tak guna saiful cadang tubuh Suruhanjaya Di-Raja kerana hanya pm boleh izin penubuhannya.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA