Selasa, 6 Jun 2017

Hati sedih, hati pedih… Francissca ratapi ‘kehilangan’ Proton

Satu masa dulu dia terkenal dengan lagu mempromosikan Proton sebagai 'kejayaan Malaysia'. Kini semuanya hanya kenangan indah baginya.
francisca4
PETALING JAYA: Francissca Peter kini memendam rasa sedih, dan seperti lagunya yang satu masa dulu menjadi siulan ramai, barangkali hanya mampu bertahan “sekadar di pinggiran”.
Selepas pengumuman kepentingan Proton dijual kepada sebuah syarikat China, Francissca kini meratapi “kehilangan” kereta nasional itu, dan mempersoalkan statusnya sebagai “Kejayaan Malaysia”, lagu yang dinyanyikannya untuk Proton lebih 3 dekad lalu.
“Apakah ia akan dikenali sebagai kereta kebangsaan? Apa lagi akan dijual seterusnya?” soal penyanyi suara emas itu yang kini sudah menjangkau usia 55 tahun, dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.
Soalan yang dilontarkan itu hampir sama dengan luahan hati Tun Dr Mahathir Mohamad, yang secara terbuka berkata beliau menangisi penjualan Proton kepada Kumpulan Geely Holding dari China, umpama kehilangan anaknya.
“Kita harus tanya, apa lagi nak dijual?” kata bekas perdana menteri yang mengasas industri kereta nasional itu pada awal 1980-an, ketika berucap di Kampung Baru beberapa jam selepas pengumuman DRB-Hicom menjual kepentingan 49.9% kepada Geely pada 24 Mac.
Hancurkan hati
Tetapi kaitan antara Proton dan Francissca, atau Fran, sedikit berbeza.
Wanita ini meminjamkan aset suaranya, diabadikan dalam lagu untuk mempromosikan Proton Saga, model pertama Proton yang dilancarkan pada 1985.
Fran menyifatkan apa yang berlaku terhadap Proton sebagai “menghancurkan hati” beliau.
“Saya hadir pada majlis perasmian di kilang Proton ketika itu di Shah Alam.
“Saya melambai tangan dari dalam kereta Proton, seperti Ratu England sambil menyanyikan lagu Proton Saga.
“Saya amat teruja, teruja kita ada kereta sendiri, untuk mewakilinya, menyanyi lagu temanya.
“Ia kebanggaan negara,” katanya.
Fran merupakan penyanyi di sebalik puluhan lagu yang kerap memecahkan rekod pada 1980-an, dengan lebih 20 lagunya mencapai tempat pertama dalam carta lagu Malaysia. Ia termasuk
Suaranya bukan sahaja diabadikan dalam sejarah Proton.
Peranan Fran sebagai patriot negara turut dilihat dalam mempromosikan industri pelancongan negara seperti dalam lagu “To Know Malaysia is to Love Malaysia”, di samping lagu “Setia” yang merupakan antara projek pentadbiran Dr Mahathir dulu meraih sokongan rakyat menggunakan tema perpaduan.
‘Kisah duka’ 2 syarikat diwakili Fran
Kini, 2 syarikat kebanggaan negara yang diwakili Fran, sama ada berdepan atau sudah melalui krisis yang melunturkan kegemilangan silamnya.

“Sedih bila melihat semuanya berlalu sedikit demi sedikit. Seperti Proton, Malaysia Airlines pun cuba bertahan,” katanya.
Fran berkata, pemimpin negara sepatutnya cuba mencari jalan menyelamatkan khazanah negara daripada saling tuduh menuduh.
“Sepatutnya, kita bangga dengan apa yang kita bina, dan pastikan ia kekal milik kita,” katanya.
“Tetapi semua orang mahu jawatan tinggi dengan gaji lumayan, daripada cuba mengatasi kelemahan demi menyelamatkan perkara yang menjadi kebanggaan kita.
“Kita perlu melihat bagaimana kita boleh menyelamatkan simbol negara.”
Menurutnya, walaupun terdapat model Proton yang gagal, kereta itu berjaya memberi peluang kepada rakyat kebanyakan memiliki pengangkutan sendiri.
Beliau menceritakan pengalamannya memandu sebuah Proton Tiara untuk beberapa tahun.
“Saya sangat menyukainya dan tidak mahu melepaskannya,” katanya, sambil mengaku kereta itu masih disimpannya walaupun sudah usang.
“Ya, ada yang kata Proton gagal menjana keuntungan. Tetapi apa yang kita lakukan? Adakah kita sekadar melihat sahaja ia berlalu dimakan karat?
“Seperkara yang membuatkan saya terkilan, mudahnya untuk sesuatu seperti Proton dijual,” Fran meneruskan rintihannya.
Baginya, penjualan Proton umpama kecurian, kerana pemilik sebenar kereta nasional itu ialah rakyat Malaysia.
“Kita pernah ada kereta nasional, kini kita tidak lagi boleh berkata begitu.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA