Selasa, 20 Jun 2017

GST: Pengarah Kastam tak bersalah, Rafizi tuntut Johari minta maaf

Ahli Parlimen PKR itu berkata usul mengenakan cukai ke atas 60 barang makanan itu dibentangkan menteri kewangan melalui timbalannya pada sesi Dewan Rakyat lepas.
rafizi-johari-kastam
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menuntut Datuk Seri Johari Ghani meminta maaf kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana cuba “mencuci tangan” daripada keputusan kerajaan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 barang makanan, yang ditarik balik semalam.
Rafizi merujuk kenyataan menteri kewangan II itu semalam yang berkata pihak Kastam bertindak tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.
“Adalah sangat tidak bertanggungjawab dengan mencuci tangan dan menyalahkan Jabatan Kastam dan Eksais setiap kali keputusan kerajaan mengutip GST dibantah rakyat, kerana keputusan mengutip GST itu datangnya dari menteri kewangan dan hanya dilaksanakan oleh Jabatan Kastam dan Eksais,” kata ahli Parlimen Pandan itu.
“Saya mengesyorkan Johari Ghani meminta maaf kepada seluruh kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais di seluruh negara.”
Rafizi turut berkata Pengarah Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy “terang-terang dikambing hitamkan atas keputusan yang tidak popular itu”.
Ketika dihubungi FMT, Subromaniam enggan memberikan sebarang komen.
Semalam, Subromaniam mengumumkan pembatalan sebuah perintah meminda senarai barang yang dikenakan GST yang diwartakan pada 6 Jun lalu, yang boleh menyebabkan kenaikan beberapa jenis barang makanan seperti makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi, mulai Julai 1.
Cadangan itu pertama kali dilaporkan China Press.
Rafizi turut menunjukkan rekod Dewan Rakyat yang menunjukkan usul itu dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat pada sesi yang lalu, melalui timbalannya Datuk Othman Aziz.

Dokumen Hansard itu antara lain menyebut barang makanan yang akan dicukai seperti laksa kering, kue tiaw kering dan mi kuning kering.
Katanya, selepas diluluskan Dewan Rakyat, usul itu menjadi kertas statut, di mana pihak Kastam bertanggungjawab melaksanakannnya.
“Sebab itu, adalah tidak bertanggungjawab bagi Johari Ghani menyalahkan Jabatan Kastam dan Eksais sedangkan Kementerian Kewangan yang pandai-pandai membentangkan dan mendapat kelulusan untuk mencukai 60 barang makanan ini,” kata Rafizi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA