Selasa, 20 Jun 2017

GST bukan menu boleh ditukar bila tak kena selera

Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng mempersoalkan siapa 'Napoleon kecil' atau menteri yang memutuskan untuk mengenakan GST ke atas 60 barang makanan itu.
lim-lip-eng
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng hari ini menuntut penjelasan Kabinet berhubung pembatalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 barang makanan, semalam.
Wakil rakyat DAP itu juga mahu kerajaan memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang tanpa rundingan dengan rakyat dan melalui perbahasan di Parlimen.
Katanya, GST bukan aturan menu makan perdana menteri yang boleh ditukar-tukar apabila tidak kena dengan selera beliau atau ahli keluarganya kerana sebarang perubahan ke atas cukai itu akan memberi kesan kepada ekonomi negara, khasnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak ketika mula melaksanakan GST pada 1 April 2015 berjanji hanya 6% cukai akan dilevi daripada bahan makanan diproses bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
“Namun, senarai 60 bahan makanan baru, termasuk makanan tidak diproses seperti ikan keli, bayam, kacang panjang, kacang pis, ubi kentang, jagung manis dan bahan-bahan lain diwartakan pada 6 Jun untuk dikenakan GST bermula 1 Julai.
“Tiga belas hari kemudian, setelah media sosial mula kecoh dan sehari selepas laman berita utama melaporkan hal tersebut, kerajaan membuat satu lagi pusingan U semalam dengan membatalkan pelaksanaan rancangan baru itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada mulanya, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy dilaporkan sebagai berkata, lebih 60 barang makanan akan dikenakan GST termasuk bihun, teh, kopi, rempah, makanan laut seperti belut dan ikan todak, mulai 1 Julai ini.
Buah-buahan diimport seperti avokado, buah ara, anggur, buah pic, ceri dan beri serta sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis akan dikenakan cukai 6% itu.
Kurang 24 jam, Subromaniam memaklumkan kerajaan membatalkan hasrat mengenakan GST ke atas lebih 60 barangan makanan itu, selepas jabatan itu merujuk perkara berkenaan kepada Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut, Lim mempersoalkan siapa “Napoleon kecil” atau menteri yang memutuskan untuk mengenakan GST ke atas 60 barang makanan itu.
“Adakah Kabinet dimaklumkan dan adakah ia memberi persetujuan? Adakah Najib Razak sendiri sebagai menteri kewangan atau orang lain, memberi arahan semalam supaya rancangan GST baru tersebut dibatalkan?”

Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, sebarang pelaksanaan GST terhadap mana-mana barang baharu perlu melalui kelulusan Kabinet berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, cadangan pelaksanaan GST ke atas 60 barang makanan tersebut dibuat di peringkat Jabatan Kastam Diraja Malaysia tanpa sebarang rujukan dengan Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan.
“Item tersebut memang tidak sepatutnya dikenakan GST buat masa ini. Saya sudah beritahu kepada pihak kastam, setiap barang yang hendak dikenakan GST perlu dibawa ke peringkat Kementerian Kewangan dan kita akan bawa ke Kabinet,” katanya sambil menyangkal dakwaan pembatalan GST itu bersifat politik, memandangkan langkah tersebut diambil setelah mengambil kira kos hidup rakyat.
Kerajaan memperkenalkan GST 6% ke atas barangan dan perkhidmatan pada April 2015. Sehingga kini, Putrajaya berjaya mengutip lebih RM50 bilion sejak GST dilaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA