Selasa, 6 Jun 2017

G25: Lindung penjawat awam yang lapor rasuah pihak atasan

Penjawat awam yang membuat laporan terhadap pegawai atasan mereka yang menerima rasuah perlu dilindungi melalui pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, kata G25, kumpulan pemimpin Melayu Islam yang sederhana.
"Adalah penting bahawa kakitangan kerajaan yang membuat laporan terhadap pegawai atasan mereka dilindungi daripada gangguan seperti didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak boleh semata-mata wujud sekadar hiasan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
"Adalah imperatif supaya akta itu dikaji semula dengan seberapa segera yang mungkin bagi menghapuskan sekatan berhubung jenis maklumat pemberi maklumat dibenarkan untuk dedahkan dan kepada siapa mereka boleh berbuat demikian,” kata kumpulan itu.
G25 juga berkata bahawa usaha memerangi rasuah perlu ditangani di peringkat politik bagi memastikan wakil rakyat berkelakuan baik, dan bebas daripada rasuah.
Ahli politik tidak seharusnya terlepas daripada tindakan sewajarnya dalam apa jua keadaan, kata mereka, kerana jika tidak, ini akan menjejaskan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
"Apabila ahli politik terjebak dengan politik wang haram untuk memenangi pilihan raya, mereka cenderung terheret ke kancah tipu muslihat dan kejahatan, serta kemudiannya mendapati diri mereka sukar untuk keluar," kata G25.
Itulah sebabnya, mereka berkata, Malaysia mengalami reputasi buruk berkaitan dengan tadbir urus yang baik.
Mereka berharap agar cadangan oleh jawatankuasa teknikal mengenai pembiayaan politik, yang ditubuhkan oleh kerajaan, dan cadangan oleh G25 serta gabungan 70 NGO akan digubal menjadi undang-undang tidak lama lagi.
Ini akan mengurangkan tekanan ke atas sumbangan perniagaan dan memastikan pilihan raya yang adil, kata mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA