Selasa, 20 Jun 2017

Felda perlu dipulihkan semula sebelum tenat

Oleh WAN ROHIMI WAN DAUD
PERLETAKAN jawatan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Berhad (FGV) ternyata tepat pada masanya. Di saat FGV mahupun FELDA dilambung dengan pelbagai kontroversi dan skandal, seharusnya sejak awal lagi beliau direhatkan dari memegang jawatan sebagai Pengerusi FGV agar siasatan menyeluruh dapat dilakukan terhadap segala kepincangan yang berlaku dengan adil dan saksama.
Namun dalam pada perletakan jawatan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi FGV telah selesai, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun Dato’ Seri Idris Jala yang telah dilantik Kerajaan untuk menyelesaikan kemelut FGV harus terus menyiasat segala kepincangan yang berlaku di dalam FGV mahupun FELDA hingga ke akar umbi. Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyeleweng, menggunakan aset dan wang FELDA mahupun FGV untuk keuntungan dan kepentingan peribadi serta termasuk menggunakan pengaruh serta jawatan di dalam FELDA mahupun FGV demi memenuhi gelojak nafsu dan kocek mereka sendiri, harus diheret ke muka pengadilan untuk dihakimi dan dihukum jika didapati bersalah.
Pertikaian di antara Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria Arshad terutamanya membabitkan urusniaga Delima Oil Products Sdn. Bhd. hanya sekelumit dari segala permasalahan yang berlaku di dalam FELDA dan FGV. Isu FELDA Carviative Sdn. Bhd. (FCSB) yang membabitkan projek penternakan ikan sturgeon bernilai RM146.25 juta dengan syarikat penternakan ikan sturgeon dari Korea Selatan, isu pembelian hartanah luar negara dalam jumlah besar dan banyak lagi isu yang membabitkan kepincangan pengurusan FELDA terutamanya semasa Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi FELDA dan FGV harus disiasat sedalam mungkin.
WAN ROHIMIFELDA dan FGV harus dipulihkan sebelum tenggelam ke dasar, ramai yang bergantung harap agar FELDA dan FGV kembali menyinar. Tan Sri Sulaiman Mahbob yang telah dipilih untuk menerajui FGV oleh Perdana Menteri perlu menggunakan pengalaman serta kepakaran yang beliau di dalam dunia korporat untuk memulihkan semula FGV dan meyakinkan semula pelabur untuk terus melabur di dalam FGV.
Walau kami tidak pernah bersetuju FGV disenaraikan di Bursa Malaysia, namun usaha harus di lakukan untuk menyelamatkannya dari terus mengalami kerugian. Dengan kejatuhan harga saham FGV yang cukup besar iaitu harga tawaran IPO sebanyak RM4.55 seunit dan harga semasa seunit sebanyak RM1.84, sebenarnya FGV sudah kerugian berbillion ringgit dengan perbezaan ketara harga seunit saham sebanyak RM2.71 seunit, kejatuhan melebihi 50 peratus dari harga tawaran asal saham FGV. “By hook or by crock" FGV sendiri perlu dipulihkan sebelum FELDA sendiri tiada nilai dan menanggung liabiliti yang besar akibat kepincangan FGV. Namun sebenarnya yang rugi ialah peneroka, masa depan mereka dengan sendirinya terkait dengan FGV akibat penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.
Seharusnya Perdana Menteri merehatkan Tan Sri Isa Samad daripada memegang sebarang jawatan dalam mana-mana agensi atau portfolio Kerajaan atau GLC sehingga siasatan menyeluruh selesai, mahupun oleh SPRM ataupun jawatankuasa yang diketuai oleh Dato’ Seri Idris Jala. Siasatan perlu adil dan menyeluruh “without fear or favour". Namun apa yang di kesali beliau terus dianugerahkan jawatan kerusi empuk di SPAD tanpa melihat rekod beliau yang lalu yang nampaknya lebih banyak buruk dari baiknya.

Dengan keluarnya Tan Sri Isa Samad dari bayangan FELDA mahupun FGV, diharapkan Tan Sri Shahrir Samad dan Tan Sri Sulaiman Mahbob dapat bekerjasama dengan sebaiknya untuk memulihkan FELDA mahupun FGV supaya kembali kepada tujuan asal penubuhan FELDA, memajukan serta mengembangkan teras perniagaan FELDA. Cukuplah rakyat terutamanya peneroka menderita akibat kerakusan segelintir pihak, FELDA bukan milik sesiapa, FELDA adalah milik peneroka dan negara.
Alangkah baiknya pada penghujung Ramadhan yang penuh keberkatan ini, Perdana Menteri dipandu keinsafan untuk menoleh semula dan menginsafi wasiat Almarhum ayahandanya Tun Razak, sewaktu membentangkan Akta GSA pada 27/4/1960, bahawa FELDA ditubuhkan untuk memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah (giving land to the landless), dalam ertikata membangunkan sosioekonomi rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputra. Paculah FELDA kembali ke tujuan asal, usah biarkan wasiat hanya tinggal kenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA