Jumaat, 30 Jun 2017

EHHH….SIAPA YANG PANIK?


Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa berkata, tindakan pembangkang cuba memanipulasi laporan DOJ adalah bertujuan mengalih tumpuan daripada isu penubuhan Suruhanjaya Diraja berkaitan urusniaga mata wang asing atau forex yang ditubuhkan kerajaan.
Kata beliau, keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu telah mewujudkan keadaan panik di kalangan pembangkang.
Benarkah pembangkang sedang panik?
Sebelum panik, mari kita fahami dahulu beza antara DOJ dengan forex.
Isu DOJ ialah berkaitan 1MDB yang daripada syarikat pelaburan kerajaan tersebut dipercayai hampir RM20,000 juta telah diselewengkan dan dalam masa yang sama, hutangnya pula mencecah RM55,000 juta.
1MDB ditubuhkan oleh Najib, Pengerusi Lembaga Penasihatnya Najib, Perdana Menteri Najib, Pengerusi Mesyuarat Kabinet Najib, Menteri Kewangan Najib dan orang yang terikat secara langsung dengan Artikel 117 M & A syarikat iaitu berkuasa meluluskan sebarang urusan berkaitan kewangan dan pelaburan 1MDB juga adalah Najib.
Berdasarkan laporan DOJ, turut didedahkan bahawa “Malaysian Official 1” telah mendapat sejumlah RM3,000 juta daripada dana 1MDB yang dilencongkan melalui akaun peribadinya, manakala “isteri Malaysian Official 1” menerima hadiah barang kemas serta perhiasan mewah daripada Jho Low bernilai kira-kira RM128 juta.
Meskipun sehingga ini tiada sesiapa mahu mengaku sebagai “Malaysian Official 1”, tetapi Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan dengan bangga mengesahkan ia adalah Najib.
Urusniaga matawang asing yang menyebabkan negara kerugian sehingga AS10 bilion kira-kira 25 tahun lalu adalah diuruskan oleh Bank Negara dengan pegawai yang dikatakan bertanggungjawab mengenainya ketika itu ialah Nor Mohamed Yakcop.
Ketika itu, Tun Mahathir Mohamad hanyalah Perdana Menteri dan Pengerusi Mesyuarat Kabinet, manakala Menteri Kewangan ialah Anwar Ibrahim.
Memang berlaku kerugian dalam urusniaga forex, tetapi ia adalah berkaitan perniagaan yang tertakluk kepada ada masa untung, ada masa rugi.
Namun, tindakan pencegahan telah diambil untuk mengelakkan kerugian lebih menimbun, bahkan Nor Mohamed Yakcop juga telah diarah meletakkan jawatan dan dilarang terlibat dalam urusan kewangan negara sebagaimana yang disahkan oleh Anwar ketika mengadap Pasukan Petugas Khas sebelum ini.
Meskipun berlaku kerugian, nilai ringgit ketika itu tidak begitu terancam atau jadi lemah dengan mendadak. Segala-galanya dalam keadaan terkawal, malah sehingga Tun Mahathir berundur pada 2003 dan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dan meletakkan jawatan pada 2009, nilai ringgit tidaklah terlalu buruk berbanding ketika era Najib yang diselubungi gerhana 1MDB.
Di sebalik kerugian forex juga, tiada sesiapa termasuk Tun Mahathir dan Anwar yang diketahui ada kemasukan beribu-ribu juta wang ke dalam akaun bank peribadi mereka.
Tetapi, di sebalik 1MDB, begitu ramai yang mendapag manfaat dan untungnya, termasuk tiba-tiba mampu menghasilkan filem di Hollywood dan memberi apartment mewah di New York dan London.
Selain itu, berbeza dengan forex di mana beberapa tindakan telah pun diambil, apa tindakan  kerajaan terhadap petualang-petualang 1MDB?
Maka, antara DOJ yang bertindak berkaitan 1MDB dan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan kabinet untuk menyiasat forex, siapa yang sepatutnya lebih panik?
BN dan Najib atau pembangkang serta Tun Mahathir?
 
Adakah Annuar Musa turut sama panik bersama mereka yang sedang panik?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA