Selasa, 6 Jun 2017

Dr Mahathir: Lebih mudah gadai Proton daripada pertahan maruah negara


Dr Mahathir: Lebih mudah gadai Proton daripada pertahan maruah negara
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata lebih mudah untuk menggadaikan Proton kepada syarikat asing kerana kos mempertahankan maruah memiliki kereta nasional memang tinggi. 
DR Mahathir Mohamad hari ini berkata lebih mudah untuk menggadaikan Proton kepada syarikat asing kerana memang tinggi kos mempertahankan maruah bagi mempunyai kereta nasional sendiri.
“Tak usahlah pertahan kita masih ada kereta nasional. Kereta milik orang lain, dikeluar dan dijayakan oleh orang lain, tidak boleh diiktiraf sebagai nasional,” katanya, yang merintiskan Proton pada 1983 ketika baru dua tahun menjadi perdana menteri.
Bekas perdana menteri berusia 91 tahun itu berkata salah satu sebab di sebalik kejatuhan Proton ialah kerana Malaysia terlalu mudah membenarkan kereta diimport untuk menembusi pasaran tempatan.
“Kita terbuka. Siapa saja boleh pasar kereta mereka di Malaysia. Kereta kita tidak boleh masuk negara mereka kerana pelbagai sebab. Dan kita akur,” katanya.
Bulan lepas, jutawan China Li Shufu dari Zhejiang Geely Holding Group bersetuju untuk membeli 49.9% pegangan dalam Proton Holdings Bhd daripada konglomerat DRB-Hicom Bhd.
Mahathir mengkritik tindakan itu dan menafikan mahu menjual Proton walaupun beberapa kali membuat lawatan ke China melawat kilang Geely.
“Saya mengaku saya lawat Geely di negara China. Saya juga melawat Volvo di Sweden, Jaguar di Britain, Nissan dan Toyota di Jepun dan Volkswagen di Jerman.
Saya melawat banyak syarikat automotif di dunia untuk menjual Syarikat Proton. Tetapi saya gagal. Ternampak orang lain lebih berjaya, Syabas dan tahniah, saya ucapkan kepada mereka,” katanya.
Mahathir meletakkan jawatan sebagai pengerusi Proton pada Mac lepas. Pembuat kereta China itu memberli Volvo Cars dari Sweden pada 2010 dengan ASD1.5 bilion.
Dalam urus niaga yang dilakukan bulan lepas pula, Geely bersetuju untuk membeli 51% pegangan dalam Lotus Cars daripada Proton.
DRB-Hicom dimilik ahli perniagaan terkenal Syed Mokhtar Al-Bukhary. Proton yang ditubuhkan pada 1983 ialah projek gagasan Dr Mahathir.
“Mungkin saya gagal kerana bercakap berkenaan pembelian enjin dari Geely. Geely memiliki Volvo dan saya dapati enjin design Volvo cukup baik,” kata Dr Mahathir.
Katanya lagi Proton tidak mempunyai enjin yang diterima di pasaran Eropah: “Jika dipasang enjin Geely/Volvo mungkin kita akan menepati spec Euro 6.”
Mahathir berkata yang dia cuba menaiktaraf enjin Proton.
“Tetapi Proton tolak,” katanya, menambah yang cadangannya untuk trak “pick-up” juga ditolak.
Cadangan lain yang ditolak termasuklah naik taraf enjin Campro 1,600cc dengan “turbo charger” yang mempunyai kuasa sama dengan enjin Perdana 2,000cc.

“Vendors tidak membekal parts kerana tidak dibayar. Kereta tak dapat dipasang kerana tak cukup komponen. Keluaran rendah dari permintaan. Penjualan tidak dapat ditingkatkan. Demand ada. Bekalan kurang. Proton rugi.Tidak dapat pendapatan yang cukup untuk bayar vendors dan overhead.”
Pegangan dalam Proton membolehkan Geely boleh segera memasuki pasaran Asia Tenggara.
Proton mempunyai kilang di Shah Alam dan Tanjung Malim dengan kapasiti pengeluaran 350,000 kereta setahun.
“Sejak saya tinggal (kan) Proton, pegawai dan kakitangan Proton tidak dibenar bercakap dengan saya, jauh sekali bertemu.”
“Sebenarnya kereta Proton tidak kurang baiknya dari kereta import yang sama harganya. Tingkap automatik berjalan baik. Masalah ini diatasi 10 tahun dahulu tetapi masih disebut,” tambah Dr Mahathir lagi.
Proton diswastakan pada 2012 selepas syarikat pelaburan milik negara Khazanah Nasional Bhd menjual pegangan mereka kepada DRB-Hicom dengan nilai RM2.9 bilion.
Bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, DRB-Hicom mencatatkan kerugian bernilai RM260.4 juta (2017) dan RM871.6 juta pada 2016.
Proton berjaya mengelak kegagalan memenuhi tanggungjawab kepada pembekal April lepas selepas kerajaan memberikan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepadanya dengan salah satu syarat ialah syarikat pembuat kereta nasional itu mencari rakan kerjasama asing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA