Selasa, 20 Jun 2017

Cadangan GST: Kastam tak rujuk Kementerian Kewangan, Kabinet

Johari Abdul Ghani turut menyangkal dakwaan pembatalan GST ke atas 60 barang makanan itu bersifat politik, memandangkan langkah itu diambil setelah mengambil kira kos hidup rakyat.
Johari-Abdul-Ghani_gst_new_600
PUTRAJAYA: Sebarang pengenaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap mana-mana barang baharu perlu melalui kelulusan Kabinet berkuat kuasa serta-merta, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menteri kewangan kedua itu mengulas pengumuman pembatalan GST ke atas tambahan 60 barang makanan berkuat kuasa 1 Julai ini yang dibuat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini.
“Item tersebut memang tidak sepatutnya dikenakan GST buat masa ini. Saya sudah beritahu kepada pihak kastam, setiap barang yang hendak dikenakan GST perlu dibawa ke peringkat Kementerian Kewangan dan kita akan bawa ke Kabinet.
“Ia tidak boleh dikenakan (GST) tanpa kelulusan Kabinet,” katanya semasa majlis Iftar Perdana Kementerian Kewangan malam ini.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah.
Johari berkata, cadangan pelaksanaan GST terhadap 60 barang makanan tersebut dibuat di peringkat JKDM tanpa sebarang rujukan dengan kementerian untuk dimuktamadkan.
Beliau turut menyangkal dakwaan pembatalan GST ke atas barang makanan itu bersifat politik, memandangkan langkah tersebut diambil setelah mengambil kira kos hidup rakyat.
“Jangan buat spekulasi,” katanya.

Media tempatan melaporkan lebih 60 makanan tertentu yang berkadar sifar akan dikenakan GST 6% bermula 1 Julai ini selepas merujuk Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No. 2) 2017 yang diwartakan pada 6 Jun lalu melalui P.U. (A) 162, dan akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2017.
Implikasi kepada pewartaan Perintah itu akan menyebabkan lebih daripada 60 item makanan seperti ikan belut, ikan todak, jagung, sayuran sejuk beku, buah-buahan import seperti avokado, anggur, ceri, buah pic, buah ara, marjerin dan lain-lain akan tertakluk kepada GST 6%.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA