Khamis, 29 Jun 2017

BURUAN MEDIA YANG MEMALUKAN MALAYSIA

Tidak dinafikan negara kita semakin popular dan glamour di mata dunia sekarang ini. Ia tidak pernah dialami sebelum ini, baik ketika era Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Razak Hussein, Tun Mahathir Mohamad,  Tun Abdullah Badawi atau lain-lain Perdana Menterinya.

Tetapi, popular dan glamournya Malaysia di mata dunia bukanlah kerana kejayaan pembangunan atau terhasilnya sesuatu ciptaan yang membanggakan, sebaliknya hanya satu sebab - skandal 1MDB.

Skandal itu bukan saja menyebabkan negara kita menjadi sebutan dan medan siasatan beberapa negara, bahkan nama Perdana Menteri, Najib Razak turut diintai gerak-laku dan gaya hidupnya.

Setelah sebelum ini, percutian mewah, bermain golf dan pesta membeli-belah melibatkan keluarga Najib menjadi bahan intipan media, terbaru ini percutian beliau di Bali juga menjadi santapan menyelerakan bagi media-media di Indonesia.

Mereka bukan saja menjejaki berapa ahli rombongan, ahli keluarga yang turut serta, jumlah kereta yang digunakan, bahkan sehingga  jenis bilik penginapan di Hotel St. Regis, Bali juga dilaporkan sama.

Diberitakan, percutian Najib di Bali sehingga Jumaat ini sebelum kemudian menyambung cutinya ke Perth, Australia, beliau menempah 41 bilik, termasuk yang pernah disewa oleh Raja Salman dan selebihnya bertaraf presidential suites, meski ahli rombongan dikatakan cuma 23 orang saja.

Maka, berdasarkan laporan media Indonesia itu, siapa yang tinggal di bilik selebihnya itu atau bilik-bilik lebihan itu untuk mengisi apa?

Jika media Indonesia begitu mengejar percutian Najib dan keluarganya di Bali, tidak mustahil sesampainya di Perth nanti, beliau juga akan turut menerima nasib yang sama. 

Bahkan, seperti yang sedia diketahui umum, media Australia lebih terbuka dan detail lagi laporannya.

Jadi, kita tunggu saja apa episod seterusnya berita-berita yang akan muncul dari Perth nanti.

Pernahkah di era Perdana Menteri sebelum ini, baik Tun Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun atau ketika Tun Abdullah yang terkenal dengan kawalan budak-budak tingkat 4, mereka dikejar media antarabangsa sebegitu rupa sehingga berkaitan hal-hal peribadi, barang kemas yang dibeli atau mengenai percutiannya?

Tidak pernah bukan? Mengapa media antarabangsa tidak mengejar mereka sebegitu rupa?

Jawabnya kerana tidak pernah ada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini dikaitkan dengan skandal kewangan sebagaimana Najib terkait dengan 1MDB. Tidak perlu dihuraikan lebih lanjut mengenai skandal tersebut, siapa yang terlibat, siapa mendapat manfaat, siapa menerima hadiah, siapa menerima derma, siapa menerima barangan kemas serta siapa yang cuba menutup kes dan seolah-olah melindungi daripada sebarang tindakan.

Kelebihan Najib berbanding Perdana Menteri sebelumnya hanyalah kerana skandal kewangan terbesar yang dikaitkan dengannya. Ia juga menjadikan beliau berbeza dengan sesiapa pendahulunya, termasuk ayahnya sendiri, Tun Razak.

Perhatian media antarabangsa kepada Malaysia ini, jika diimbas kembali, tidak banyak bezanya dengan apa yang dialami oleh Filipina ketika era Ferdinand Marcos dahulu. Ketika itu, barangan  kemas, pakaian dan berapa jumlah kasutnya pun menjadi perhatian dunia.

Situasi yang sama juga pernah berlaku kepada beberapa negara Arab seperti Libya, Mesir, Iraq dan Tunisia di mana pelbagai cerita muncul dek kelakuan pemimpinnya yang suka bermewah, mengumpul kekayaan dan terkait dengan banyak skandal.

Kepada rakyat Malaysia, sampai bila kita mahu membiarkan negara ini menjadi tumpuan dunia, popular dan glamour dengan cara yang salah begini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA