Selasa, 6 Jun 2017

Bukankah Cuepacs janji minta bonus 2 bulan?

Kerajaan Persekutuan mengumumkan bonus RM500 kepada setiap penjawat awam menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pada Ogos tahun lalu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda telah berjanji untuk membuat permohonan bonus dua bulan gaji untuk penjawat awam.
Kini janji hanya tinggal janji dan hanya retorik semata-mata kerana Cuepacs dilihat banyak mengikut telunjuk kerajaan dan gagal memainkan peranan sebagai wakil suara pekerja awam di negara ini.
Bagaimana pula dengan nasib pekerja sektor swasta di negara ini?
Golongan pekerja swasta di Malaysia tidak dijaga kebajikan dengan baik oleh pihak kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia.

Beberapa faktor yang membuktikan kerajaan mengabaikan golongan pekerja termasuk:
1. Pecahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan bahawa 34.8 peratus sahaja hasil dikongsi oleh golongan pekerja, selebihnya dipunyai oleh kumpulan korporat dan kerajaan.
2. Kekurangan usaha kerajaan dalam menggesa penguatkuasaan gaji minimum yang setimpal dengan kos sara hidup. Gaji minimum RM1,000 untuk sebulan adalah tidak relevan bagi pekerja yang tinggal di kota raya terutama di Kuala Lumpur.
3. Kerajaan membawa masuk pekerja asing secara besar-besaran. Alasannya adalah untuk memenuhi permintaan majikan, tanpa melihat desakan golongan pekerja tempatan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing melalui penggunaan teknologi dan kenaikan gaji pekerja tempatan.
4. Kerajaan gagal membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyebabkan mereka berpeluang untuk bekerja di semua sektor tanpa kekangan pihak berkuasa. Keadaan ini menyebabkan berlakunya persaingan tidak sihat antara pekerja asing dan tempatan.
5. Sebanyak 77 peratus pekerja tempatan tidak memiliki sijil pendidikan tinggi (diploma, ijazah dan lain-lain). Sistem pendidikan yang kucar-kacir tidak relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.
6. Polisi percukaian kerajaan Umno-BN lebih membebankan golongan pekerja terutama cukai GST. Manakala pemotongan cukai korporat masih diteruskan serta ketiadaan cukai progresif seperti cukai laba modal dan warisan yang menguntungkan golongan kaya yang menguasai perniagaan.
7. Hanya lapan peratus daripada keseluruhan pekerja di negara kita yang bernaung dengan mana-mana kesatuan sekerja. Keadaan ini menyebabkan kebajikan pekerja kurang diambil berat. Malangnya, kerajaan tidak memberi galakan dan insentif kepada swasta untuk menubuhkan kesatuan sekerja.

Kerajaan sepatutnya tidak berat sebelah terhadap mana-mana pihak, antara majikan dan golongan pekerja. Meskipun kerajaan adalah majikan untuk penjawat awam, perlu ada satu pengasingan tugas yang jelas antara kerajaan dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Pakatan Harapan berpandangan bahawa perlunya wujud jawatankuasa tiga pihak, dianggotai kerajaan persekutuan, kumpulan majikan (termasuklah SPA) dan kesatuan sekerja pada peringkat nasional.
Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan dalam mewujudkan keadaan menang-menang terhadap kedua-dua belah pihak. Intipati utama yang perlu dititikberatkan adalah pelarasan gaji minimum, kebajikan pekerja dan peningkatan produktiviti.
Kerajaan seharusnya menggalakkan penubuhan kesatuan sekerja. Komitmen masyarakat memainkan peranan untuk terlibat dan aktif dalam menuntut hak kebajikan pekerja sebagai balasan sumbangan tenaga dan produktiviti kepada entiti korporat.
Malangnya, suasana ini dilihat tidak mungkin berlaku dalam pentadbiran Umno-BN yang tidak mahu kehilangan pengaruh korporat yang membantu mereka dalam kempen pilihan raya.

DATUK ABDULLAH SANI ABDUL HAMID

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA