Jumaat, 2 Jun 2017

Bukan semua Islam pengganas, tidak semua kafir anti-Islam


Menghukum kesemua umat Islam sebagai pengganas adalah tidak tepat dan tidak adil, manakala menghukum semua bukan Islam sebagai 'musuh Islam' dan 'anti-Islam' juga tidak tepat dan tidak adil.
Sekumpulan warga Amerika Syarikat beragama Islam menunjukkan soldariti mereka terhadap tiga hero tragedi Portland.Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menasihati rakyat negara ini agar mengambil iktibar daripada tragedi yang berlaku di Portland, Oregan, Amerika Syarikat apabila dua lelaki bukan Islam terbunuh dan seorang lagi cedera parah akibat diserang kerana mempertahankan kehormatan dua wanita muslim.
"Walaupun imej Islam, khususnya di Amerika, begitu terpalit dengan tindakan golongan 'pengganas Islam', tiga lelaki ini menyedari bahawa pengganas yang mengganas atas nama Islam, kononnya, tidak mewakili semua orang Islam. Dan dua wanita berkenaan, walaupun beragama Islam, tidak wajar diherdik dan dicaci sebegitu rupa.
"Tindakan mereka bertiga, yang mampu membezakan pengganas dari umat Islam secara amnya, harus dicontohi semua," ujar beliau.
Dalam kejadian di Portland, Oregon pada Jumaat, 26 Mei lalu, tiga  lelaki bukan Islam yang berusaha melindungi dua wanita Islam daripada diganggu seorang lelaki dalam sebuah tren penumpang telah ditikam.
Lelaki yang menimbulkan ketegangan dan menikam ketiga-tiga lelaki tersebut kemudian melarikan diri dan akihirnya ditahan polis.
Suspek akan dihadapkan ke mahkamah di bawah tuduhan membunuh.
Tragedi yang berlaku di Portland mendapat liputan meluas media Amerika Syarikat.
Dua lelaki yang mati ditikam dikenali sebagai Rick Best, seorang bekas tentera Amerika yang telah beristeri dengan 4 anak dan Namkai Meche, 23, seorang graduan.
Lelaki ketiga, Micah Fletcher, 21, pekerja di sebuah kedai pizza  sedang dirawat di hospital dengan kecederaan parah.
Menurut Khalid, hasil tindakan berani tiga lelaki bukan Islam itu, dua wanita Islam berkenaan terselamat dari gangguan dan ancaman.
"Mereka bertiga tidak mengenali dua wanita Islam itu. Mereka bukan beragama Islam dan mungkin juga tidak sebangsa, namun mereka sanggup membela kehormatan dua wanita Islam tersebut," ujarnya.
Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan bagaimana bukan Islam boleh bersikap adil dan melindungi umat Islam.
"Raja Najasyi di Habsyah yang beragama Kristian telah menjadi tempat berlindungnya umat Islam dalam peristiwa Hijrah pertama.
"Malahan dewasa ini, berapa ramai umat Islam telah berhijrah mendapat perlindungan di negara-negara Eropah dan Amerika? Dalam banyak keadaan, mereka berhijrah melarikan diri dari pemimpin zalim yang beragama Islam," tegas beliau.
Menurutnya, sikap menghukum keseluruhan bukan Islam sebagai 'musuh Islam' dan menanam kebencian terhadap mereka adalah punca berlakunya tindakan keganasan.
Turut dihukum, tambah beliau adalah mereka yang dikatakan 'berlembut' dengan bukan Islam yang dilihat menggadai kepentingan agama.

Micah Fletcher yang cedera parah menerima rawatan di hospital.
"Inilah sebabnya golongan pengganas tidak berasa bersalah membunuh secara rambang, termasuk wanita dan kanak-kanak, seperti yang berlaku di Manchester dan juga di Mesir sehari sebelum Ramadan.
"Begitu juga yang berlaku di Indonesia dan Filipina. Sebahagian yang terkorban adalah umat Islam sendiri. Siapa sahaja yang tidak bersama mereka boleh dikorbankan kerana hanya mereka kononnya yang berada di jalan Allah," ujar ahli parlimen Shah Alam itu.
Menurutnya, Islam mengajar umatnya untuk bersama keadilan dan kebenaran bukan bersama orang Islam secara membabi buta.
Malah beliau mengingatkan umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan desakan 'solidariti bersama Islam' sehingga sanggup bersolidariti dengan penzalim yang menzalimi pihak lain khususnya bukan Islam.
"Istilah-istilah seperti 'musuh Islam' dan 'anti-Islam' adalah istilah-istilah yang suka digunapakai oleh golongan pengganas dalam usaha menanam kebencian terhadap masyarakat atau kumpulan tertentu.
"Dengan menggunakan istilah-istilah yang begitu emotif atau merangsangkan perasaan, khususnya perasaan kemarahan dan kebencian, mereka mengharapkan umat Islam akan menyokong tindakan mereka," ujar beliau.
Sehingga pembunuhan rambang wanita dan kanak-kanak oleh pengganas Islam akan dianggap 'harus' dan tidak menimbulkan kemarahan umat Islam. Ianya seolah-olah sesuatu yang boleh diterima kerana ianya balasan terhadap mereka yang dikatakan 'musuh Islam' dan 'anti-Islam'.
Beliau menambah, kempen yang bertujuan menanam kebencian dan kemarahan umat Islam terhadap bukan Islam, perlu ditolak dan ditentang semua yang waras dan bertanggungjawab.
"Bukan sahaja ianya mampu memusnahkan negara, ia merosakkan umat Islam dan imej Islam," jelasnya.
Menurutnya, ketika Melayu Islam bergelut dengan semangat perkauman dan ekstremis agama, tiga lelaki bukan Islam di Portland Oregon menunjukkan akhlak mulia yang sepatutnya ada pada umat Islam.

1 ulasan:

  1. Ada org islam kat sini tidak membenarkn non muslim turut myertai berbuka puasa.
    Ini pmikiran kolot dn islam itu maha adil. Islam itu luas bukan hanya utk org pas dn ameno sja tapi ianya tmasuk pkr amanah malah islam milik semua....sengal melayan sikap org islam mcm ni

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA