Sabtu, 3 Jun 2017

BN pilih kasih, salah guna institusi awam untuk tujuan politik



MCA dinasihatkan agar tidak menyalah gunakan institusi awam sewenang-wenangnya demi kepentingan politik sebagaimana yang sering berlaku di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan negeri ini.
Menyifatkan ianya sebagai budaya tidak wajar, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu harus sedar garis pemisah antara institusi awam dan parti politik.
Sebagai contoh, katanya, Timbalan Pengerusi MCA, Wee Ka Siong mendapat layanan istimewa untuk mengadakan mesyuarat di dewan persidangan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) sedangkan ia dihadkan untuk kegunaan dalaman PBT sahaja.
“Sebaliknya, pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sering kali menolak permohonan pejabat kami untuk mengadakan aktiviti di ruang awam seperti di dataran di Kluang.
“MPK biasanya memberi alasan tidak munasabah untuk menghalang program kami seperti aktiviti kesenian, kebudayaan dan aktiviti hari keluarga,” kata Chin Tong dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya yang juga Pengerusi DAP Johor, ruang awam yang di bawah tanggungjawab PBT sepatutnya dibuka untuk kegunaan orang ramai kerana ia adalah hak milik rakyat dan bukannya ruang persendirian parti pemerintah.
“Menteri Besar Johor Khaled Nordin perlu memberi penjelasan kepada orang ramai tentang keputusan MDYP membenarkan Pengerusi MCA Johor, Wee Ka Siong untuk mengadakan mesyuarat MCA Johor di dewan persidangan MDYP,” tegasnya.

Malah, katanya lagi, hubungan MCA dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sukar diasingkan berikutan pejabat agensi itu sering digunakan pejabat cawangan MCA dan ketua kampung yang kebiasaannya adalah Pengerusi Cawangan MCA.
“Kami ingin mendesak MCA serta mana-mana komponen BN supaya jangan membawa budaya politik yang tidak sewajar ini ke peringkat PBT,” katanya.
Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan berkata, rakyat perlu sedar bahawa penggunakan institusi awam secara sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah adalah salah satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
“Rakyat perlu ubah kepincangan ini demi Malaysia yang lebih adil dan saksama.” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA