Khamis, 1 Jun 2017

Bina Negara: PM tidak boleh, penasihat boleh, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata banyak maklumat berguna boleh dikongsinya, sambil berazam terus melawan walaupun disuruh 'insaf'.
mahathir-fblivePETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi bertegas tidak berminat mahu kembali kepada jawatan yang pernah disandangnya selama 22 tahun, sambil berkata akan terus melawan walaupun ada desakan supaya beliau menghabiskan usia tua di atas tikar sembahyang.
“Setelah saya bersara, saya tak akan jadi perdana menteri lagi,” kata Dr Mahathir yang menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003.
Ketika diasak, Dr Mahathir berkata beliau perlu mengambil kira rakan kongsi lain dalam Pakatan Harapan, gabungan partinya PPBM dengan PKR, DAP dan Amanah.
“Saya tak boleh belakangkan kawan-kawan dalam PH, kalau mereka mempunyai cadangan begitu, mungkin saya terpaksa menimbang,” katanya menjawab soalan pengguna Facebook pada sesi ‘live’ hari ini bersama Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Menurut Dr Mahathir, pengalaman lama menjadi perdana menteri membolehkan beliau masih memainkan peranan memberikan nasihat berguna kepada kerajaan memerintah.
“Kalau saya diberi peluang memberi pendapat… saya bersedia mengambil bahagian untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi,” kata pengerusi PPBM itu.
Antara nasihat itu ialah mendapatkan pandangan pakar melalui jawatankuasa khas untuk membincangkan sesuatu isu, kaedah yang digunakannya pada kemuncak krisis ekonomi 1990-an.
“Ini cara saya guna di waktu krisis matawang,” katanya.
Pada September 1998, Dr Mahathir mengejutkan pasaran matawang dunia apabila mengumumkan langkah mengikat nilai ringgit kepada RM3.80 bagi setiap dolar Amerika Syarikat, di sebalik dakwaan ringgit Malaysia menghadapi serangan “penyangak matawang”, istilah yang digunakan olehnya terhadap tokoh perniagaan AS, George Soros.
“Itu cara saya, saya harap perdana menteri baharu akan menggunakan cara itu dan saya bersedia mengambil bahagian,” kata Dr Mahathir.

Tikar sembahyang
Sementara itu, Dr Mahathir turut ditanya teguran pihak tertentu yang mahu beliau “insaf” dan menghabiskan usia tuanya “di atas tikar sembahyang”.
“Sebab saya insaflah yang saya terpaksa memberi tumpuan kepada masalah yang dihadapi negara,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengecam Dr Mahathir kerana mengkritik PAS.
“Saya kekal menyerunya bertaubat dan kembali ke tikar sejadah. Itulah yang terbaik untuk beliau di hujung hayatnya,” kata bekas ketua Pemuda PAS itu bulan lalu.
Dr Mahathir sebaliknya menjawab beliau tidak boleh “lepas tangan” ketika banyak kesalahan dilakukan kerajaan, ditambah dengan “orang datang berjumpa saya berduyun-duyun meminta saya berbuat sesuatu”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA