Isnin, 26 Jun 2017

Bank Negara engkar arahan STF forex?

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, mahu laporan oleh Pasukan Petugas Khas (STF) ke atas kerugian pertukaran asing (forex) oleh Bank Negara yang berlaku tiga dekad lalu didedahkan kepada orang ramai.
Katanya, tindakan itu akan menjelaskan beberapa isu termasuk dakwaan pasukan petugas khas yang mereka menghadapi kesukaran mendapatkan bukti dari bank pusat akibat kekangan undang-undang.
"Saya tidak faham bagaimana Kementerian Kewangan dan Bank Negara boleh menolak untuk memberi pasukan petugas dokumen atau maklumat yang diperlukan [...], kerana (STF) dibentuk oleh kabinet.
"Adakah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mencadangkan bahawa ada pegawai Kementerian Kewangan dan Bank Negara yang enggan bekerjasama dengan pasukan petugas dengan menolak membekalkan dokumen dan maklumat yang relevan?
"Adakah pegawai Kementerian Kewangan dan Bank Negara ini dinamakan dalam laporan pasukan petugas kas itu?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pasukan petugas itu tidak memanggil beberapa tokoh penting termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Terdapat tiga nama penting yang tertinggal daripada senarai yang diminta hadir di hadapan pasukan petugas - perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri sekarang, yang adalah menteri pertahanan ketika itu dan ketua setiausaha negara pada waktu kejadian, iaitu Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid."
Sehubungan itu, pemimpin veteran DAP itu berkata, terdapat "asas baru mengapa laporan pasukan petugas itu harus diumumkan".
Antara mereka yang diarahkan tampil termasuk Lim dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
'Bagaimana pula dengan 1MDB'
Lim juga mahu meneliti laporan itu untuk melihat sama ada kenyataannya yang menyentuh mengenai 1MDB turut dimasukkan.
"Apabila saya dipanggil untuk hadir di hadapan pasukan petugas pada 4 Mei [...] Saya bertanya sama ada kabinet benar-benar berminat mengenai akauntabiliti dan prinsip tadbir urus yang baik.
"Saya berkata bahawa 'pelajaran sebenar' kerugian Bank forex adalah 'kegagalan' menteri, pegawai awam, ahli parlimen dan media ketika itu untuk 'memainkan peranan masing-masing bagi menegakkan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus yang baik' .
"Saya menyoal pasukan petugas mengapa semua orang dalam kerajaan kini tidak melihat gajah yang berada di dalam bilik, iaitu skandal 1MDB [...].
"Adakah pasukan petugas merakamkan perkara penting ini dalam laporannya kepada kabinet?" soalnya.

1 ulasan:

  1. Lim seorang pemimpin politik yang bijak... syabas dan tahniah.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA