Khamis, 15 Jun 2017

Bajet 2018 pada 27 Oktober, PRU-14 tahun depan?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin memberi petunjuk bila pilihan raya umum akan datang dijangka diadakan, selepas mengumumkan tarikh pembentangan Bajet 2018.
Menurut laporan Bernama, Najib pada ucaptama semasa Majlis Konsultasi Bajet 2018 di Putrajaya, berkata, belanjawan negara akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Oktober.
Ini akan menjadi bajet terakhir Najib sebelum Dewan Rakyat secara automatik terbubar pada Julai tahun depan berdasarkan tarikh ahli parlimen semasa mengangkat sumpah jawatan lima tahun lalu.
Malah, jika Najib mengadakan pilihan raya sebelum itu, pembentangan Bajet 2018 seolah-olah memberi petunjuk bahawa beliau akan berbuat demikian selepas bajet itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menurut laman web Parlimen, ketika bajet dibentangkan, Dewan Rakyat akan bersidang pada sesi yang bermula 23 Oktober hingga 30 November. Sementara itu, persidangan Dewan Negara akan bermula dari 4 hingga 19 Disember.
Dengan membiarkan parlimen terbubar secara automatik tahun depan akan memberi Najib tempoh masa tidak kurang enam bulan untuk melaksanakan aspek-aspek utama belanjawannya itu.
Ini mungkin membabitkan projek-projek baru yang mesra rakyat, termasuk menawarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang lebih lumayan.
Walau bagaimanapun ini bukan suatu kelaziman. Pada tahun 1999, Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin membentangkan bajet tahun 2000 pada Oktober 1999.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan parlimen pada November sebelum Parlimen meluluskan bajet itu.
Daim terpaksa membentangkan semula belajawan pada Februari 2000 selepas pilihan raya diadakan.
Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari setelah Dewan Rakyat dibubarkan.
Pada ucaptamanya hari ini yang Negaraku Membentuk Masa Depan, Najib berkata, kerajaan perlu lebih peka dan meneruskan usaha dalam mewujudkan barisan penampan, menggalakkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan mendorong eksport semasa lebihan akaun semasa kini yang semakin mengecil.
Najib yang juga menteri kewangan berkata kerajaan juga perlu sedar bahawa Malaysia beroperasi dalam persekitaran global yang kompetitif, yang sentiasa memerlukan perubahan segera.
"Kita perlu melibatkan diri dalam aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi supaya kita dapat mengekalkan kelebihan dan sentiasa dihadapan persaing.
“Berdasarkan kelebihan ini, serta prospek global yang semakin baik, ekonomi negara kita berada pada landasan untuk mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini.
“Hari ini, ekonomi kita sudah dipelbagaikan dari segi sumber pertumbuhan dan pendapatan hasil daripada pembaharuan ekonomi, kewangan dan fiskal yang telah dilaksanakan kerajaan.
“Ini meletakkan kita pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran ekonomi global dan domestik," kata Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA