Jumaat, 9 Jun 2017

Azam: SPRM tumpu 6 isu dalam siasatan skandal FGV

Suruhanjaya juga akan memanggil saksi dan individu yang terlibat dalam tempoh terdekat susulan rampasan dokumen semalam.
azam-baki-fgvPETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpukan 6 isu dalam siasatan rasuah dan salahguna kuasa ke atas kemelut Felda Global Ventures Berhad (FGV).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki berkata mereka akan memanggil saksi dan individu terlibat dalam tempoh terdekat susulan rampasan dokumen di Menara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) semalam.
“SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung isu FGV yang melibatkan beberapa individu dalam organisasi tersebut,” kata Azam Baki dalam kenyataan hari ini.
SPRM kini dalam proses mengkaji dokumen yang dirampas dari ibu pejabat FGV yang digeledah semalam untuk mengumpul bukti, tambahnya.
“Siasatan SPRM tertumpu kepada 6 isu yang melibatkan FGV dan kesemua isu itu akan dikaji secara terperinci untuk memastikan sama ada wujudnya unsur rasuah dan salahguna kuasa sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang,” kata Azam.
Semalam, SPRM yang diketuai pegawai kanan Sazrul Sazreen bersama 40 penguatkuasa lain membawa turun 4 bekas kotak, 3 beg tarik dan beberapa bungkus plastik yang mengandungi dokumen FGV.
SPRM memasuki Menara Felda selama 8 jam bermula dari jam 10.00 pagi dan meninggalkan bangunan itu pada 5.58 petang.
Zakaria diarahkan bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat Afghanistan, Safitex, kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar turut diarahkan bercuti.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan membawa beberapa dokumen syarikat itu, selepas dipanggil badan anti-rasuah berkenaan.
“Saya sedia bekerjasama kepada SPRM. Saya tidak takut untuk berdepan situasi ini kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mungkin banyak perkara yang boleh disiasat oleh SPRM,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA