Ahad, 4 Jun 2017

Apa guna negara kompetetif jika niaga pun guna ‘kabel’ dan kroni

OLEH Dr. Azman Ismail
Saya ambil maklum mengenai fakta yang digembar-gemburkan oleh kerajaan Umno BN mengenai kejayaan Malaysia di kedudukan nombor 24 daripada 63 negara yang mempunyai ekonomi paling berdaya saing (meskipun kedudukan Malaysia semakin merosot berbanding rekod tahun 2016: 19 daripada 61 negara).
Saya berpendapat pertumbuhan produktiviti yang semakin lembab menyebabkan tahap kompetitif semakin menurun. Ini disebabkan oleh kegagalan kerajaan dalam menggesa kenaikan gaji asas pada peringkat awam dan swasta serta kurangnya insentif dana pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk membantu pihak swasta meningkatkan tahap penggunaan teknologi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Lebih malang lagi, Malaysia di antara negara yang dikenali dengan amalan rasuah, penglibatan ‘orang dalam’ dan kronisme. Bagaimana rakyat hendak amalkan perniagaan kompetitif jika perolehan tender juga memerlukan ahli politik kerajaan dalam mendapatkan projek?
Tanyalah kepada mana-mana kakitangan kerajaan yang menguruskan tender kerajaan, berkemungkinan besar mereka ada pengalaman ditawarkan hadiah atau wang suap oleh pihak-pihak tertentu.
Tanyalah kepada orang yang terlibat dalam bidaan tender, mereka juga akan mengatakan bahawa membina perhubungan dengan ahli politik kerajaan adalah kunci mendapatkan projek.
Bukan lagi rahsia bahawa untuk dapat projek Kerajaan di Malaysia,mantranya ialah “not what you know but whom you know” ( bukan apa yang seseorang itu tahu,tetapi siapa yang seseorang itu kenal ).
Ini tidak termasuk lagi amalan ‘Ali Baba’ yang menggunakan nama orang lain untuk memperkembangkan dan mengoperasikan perniagaan tertentu. Berapa ramai pendatang asing yang menggunakan nama orang tempatan untuk membuka perniagaan tersendiri?
Berapa ramai orang bukan bumiputera yang membeli tanah lot bumiputera dengan menggunakan nama orang bumiputera? Adakah kerajaan Umno BN berusaha bersungguh sungguh dalam mengatasi hal ini?
Malaysia bukanlah negara yang kompetitif jika mengamalkan campur tangan pihak kerajaan untuk menguntungkan individu tertentu.

Jika diikutkan situasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan mempunyai kakitangan yang cukup untuk menyiasat amalan kronisme dalam perniagaan, apatah lagi ianya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dikhuatiri berlakunya konflik kepentingan politik dalam siasatan.
Ini tidak termasuk sistem monopoli yang diamalkan di Malaysia, terutama dalam sektor pertanian padi, siaran berbayar televisyen, perkhidmatan internet, permit gula, permit pengurusan pekerja asing dan permit import kereta.
Bagaimana dikatakan kompetitif sedangkan sebahagian besar sektor dikuasai oleh individu-individu tertentu yang dikatakan sangat rapat dengan pimpinan Umno BN?
Pakatan Harapan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai negara kompetitif dengan meningkatkan produktiviti melalui pertumbuhan gaji yang wajar dan penggunaan teknologi.
Tiada guna jika ranking Malaysia dikatakan baik, sekiranya tatakelola buruk di bawah pentadbiran Umno BN masih tidak dihentikan dan rakyat akhirnya menjadi mangsa keadaan.

2 ulasan:

  1. Susah meniaga..yg umno kena pakai kabel..yg kawan Saja boleh..yg pH pun nak minta tolong ..nak jumpa pun tak mau...semua tolong kawan..kerajaan pH nak jumpa kena tulis surat dulu.. pembantu semua mcm haprak..Tak caya call..pembantu pH Ni..jgn harap nak tolong...sy la ni harap pada Allah saja

    BalasPadam
  2. Ecxo pH, mb pH, yb pH Tak pernah tolong ..bila call nak tunjuk barang nak introduce utk kesejahteraan rakyat..ingat Kita nak kow Tim.. pooodah..irg nak meniaga ..nak minta tolong tunjuk arah ..kurang2 tolong tunjuk kan cara..semua sama ..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA