Isnin, 19 Jun 2017

Anak peneroka Felda singkir Umno demi masa depan lebih baik

MEREKA digelar banyak nama, ada juga yang kata mereka bodoh dan tidak bersyukur.
Tetapi bagi kebanyakan generasi kedua peneroka Felda seperti Zulkifli Md Top, menyingkirkan Umno ialah keputusan terbaiknya walaupun ia masih parti pilihan ibu bapa mereka.
Pemberontakan terhadap Umno oleh generasi kedua peneroka Felda sangat kritikal untuk melihat bagaimana pencapaian parti Melayu itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, terutama sekali apabila undi Felda membentuk 15% daripada jumlah keseluruhan undi seluruh negara, menurut penganalisis.
Skim Felda yang sudah berusia 50 tahun merentasi 54 kerusi Parlimen dan DUN di seluruh semenanjung Malaysia, menjadikan sokongan mereka sangat penting bagi mana-mana parti sekalipun.
Pada PRU lalu, majoriti undi Felda milik Umno dan gabungan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini.
Kali ini, gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) mula menjangkakan generasi kedua peneroka yang sudah bosan dengan kekecohan dan salah pengurusan di Felda, akan berpaling kepada mereka.
Jangkaan berbeza, tetapi dijangkakan generasi muda membentuk 60% populasi peneroka Felda.
Peneroka seperti Zulkilfi tidak ada rasa terhutang dengan Felda yang memberikan tanah untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit atau getah, kepada golongan miskin yang tidak mempunyai tanah.
“Tujuannya mulia. Permulaannya bagus tetapi sekarang ia tidak buat apa yang sepatutnya dibuat. Lihat Felda sekarang. Lihat krisisnya dan kerugian dihadapi. Apa masa depan kami sebagai generasi kedua Felda,” katanya.
Zulkifli berhenti kerja sebagai mekanik di bandar lapan tahun lalu untuk membantu ibunya yang sakit menjaga tanah mereka di Felda Sungai Sibol, Kulai, Johor. Dia mewarisi tanah milik ibunya seluas 10 ekar, tiga tahun lalu dengan hutang RM39,000.
Hutangnya itu kecil jika dibandingkan dengan orang lain yang hutang mencecah antara RM50,000 dan lebih RM100,000, walaupun hidup di Felda lebih 30 tahun.
Peneroka generasi kedua seperti Zulkifli tidak mahu terus hidup dalam hutang. Jadi dia tidak mengendahkan amaran Felda dan memutuskan untuk mengambil semula haknya daripada syarikat itu dan menguruskannya sendiri.
“Mereka cuba takutkan saya, mereka kata ia tidak akan berhasil,” kata Zulkifli.
Mohd Zulkifli Md Top (kiri) ketika ditemu bual di Felda Sibol, Kulai, Johor baru-baru ini, bercakap mengenai kelangsungan hidup peneroka generasi kedua yang enggan hidup dapat hutang. – Gambar – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Jun, 2017.
Mohd Zulkifli Md Top (kiri) ketika ditemu bual di Felda Sibol, Kulai, Johor baru-baru ini, 
bercakap
mengenai kelangsungan hidup peneroka generasi kedua yang enggan hidup dapat hutang.
Tetapi dia membuktikan yang mereka salah. Dia berjaya melakukannya dengan baik. Sangat baik sehingga dia mampu memiliki tiga kereta, sebuah Toyota Camry baharu, kenderaan pelbagai guna dan kereta lama Honda Civic, dan pendapatan yang mencukupi untuk menjaga tiga anaknya.
“Peneroka lama, sama ada mereka takut perubahan atau terlalu selesa dengan kehidupan masing-masing,” katanya.
Di bawah skim itu, peneroka boleh memilih untuk Felda menguruskan ladang mereka, daripada menanam semula pokok hingga menuai buah. Atau mereka boleh ambil semula semuanya dan menguruskan sendiri dan jual hasil pada Felda.
Sepanjang proses penanaman semula selama dua tahun, peneroka akan dapat elaun sara hidup RM1,500 yang perlu dibayar semula sebaik saja ladang mereka mula mendapat keuntungan.
Sama seperti ibu bapa mereka, peneroka generasi kedua terus menjadi sebahagian daripada pusingan hutang itu dan bergantung pada Felda.
Rakan Zulkifli, Zainal Md Dom berkata peneroka tidak nampak keadaan itu.
“Mereka terlalu selesa. Cakap kami tidak bersyukur. Bodoh kerana menolak sokongan Umno dan buat keputusan untuk urus sendiri tanah kami,” katanya.
Zainal berkata menguruskan tanah mereka seluas 10 ekar bukan kerja mudah tetapi bukan mustahil melakukannya.
“Lebih baik hidup bebas tanpa hutang berbanding pinjam barang tetapi akhirnya tidak keluar daripada hutang. Saya tidak mahu mewarisi hutang ibu bapa saya,” katanya.
Zulkifli dan Zainal mahukan hak mereka untuk menguruskan tanah sendiri.
Kedua-duanya berkata mereka dinafikan hak dan kemampuan untuk meningkat kerana Umno dan ahli politik yang dilantik ke Felda dan Felda Global Ventures Holdings (FGV) yang mengendalikan perladangan dan skim berkenaan.
“Penilaian yang salah, kerugian, tiada kejujuran tidak akan dapat memperbaiki kehidupan peneroka Felda. Bukannya kami tidak kenang budi, kami bersyukur tetapi kami dah bayar hutang kami,” kata Zulkifli.
Kedua-dua ibu bapa Zainal dan Zulkifli penyokong Umno.

“Kami mahu benda berubah. Kami mahu kehidupan lebih baik untuk anak kami. Susah untuk berubah tetapi ia tidak mustahil,” katanya.
Tidak takut menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, Zulkifli dan Zainal percaya mereka melakukan perkara yang betul.
“Kami bayar cukai, ikut peraturan, tidak buat salah. Saya tidak takut,” kata Zulkifli.
Bagaimanapun, dia risau mengenai masa depan Felda dan krisis kepimpinan semasa dalam FGV yang masih tidak selesai.
Syarikat perladangan itu pada masa ini berdepan masalah kepimpinan selepas presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Zakaria Arshad diarahkan bercuti sehingga siasatan kes salah guna kuasa dan salah pengurusan selesai.
Zakaria membalas balik dengan menuduh Pengerusi FGV Isa Samad turut melakukan kesalahan sama.
Zulkifli bimbang krisis itu akan menjejaskan nilai saham FGV yang ibunya beli menggunakan wang pinjaman.
Zulkifli membayar RM50 sebulan selama dua tahun lalu untuk membayar pinjaman itu.
Zainal bertuah kerana selepas memujuk ibu bapanya, mereka menolak tawaran untuk mendapatkan saham FGV.
Tetapi hampir 80% peneroka mengambil tawaran itu. Peneroka generasi pertama lain seperti Esa Atan, 71, dan Sairi Mohd Lias, 64, juga mengambil tindakan sama.
Esa berkata tidak sepertinya dan Sairi, ramai lagi peneroka yang terlalu selesa dengan kehidupan sederhana mereka.
“Mereka tahu apa yang berlaku. Tetapi terlalu takut kehilangan semuanya dan tidak diberi maklumat cukup menyukarkan lagi mereka untuk membuat keputusan.
“Bagi mereka, Umno masih parti terbaik. Ia sukar bagi kami sebagai orang Melayu. Kami ada sikap yang tidak menggigit tangan yang menyuap kami. Tetapi kami lupa makanan yang disuap itu mungkin ada benda buruk yang akan menjejaskan kehidupan dan masa depan anak kami,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA