Isnin, 19 Jun 2017

Anak Felda mahu SPRM terus siasat FGV

PERSATUAN Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) walaupun bekas pengerusi Isa Samad sudah meletak jawatan hari ini.
Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata, sekiranya siasatan SPRM mendapati ada individu terlibat dengan salahlaku rasuah dalam FGV, mereka perlulah dibawa ke muka pengadilan.
“Apa pun keputusan yang dibuat hari ini, yang paling penting ialah siasatan SPRM terhadap FGV jangan diganggu,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.
Mazlan berkata, peletakan jawatan Isa tidak akan berlaku sekiranya Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Zakaria Arshad tidak berani melawan.
“Salute saya berikan kepada Zakaria. Keberanian beliau menyebabkan berlakunya perubahan dalam FGV.
“Jika beliau hanya menjadi pak turut kepada Isa, sampai hari ini tidak ada perubahan akan berlaku,” katanya.
Mazlan berkata, sebagai anak kepada peneroka, Zakaria mendapat sokongan daripada majoriti warga Felda.
“Sekiranya Isa masih memegang jawatan sebagai pengerusi kepada anak syarikat di bawah FGV, kita minta dia turut letak jawatan.”
Hari ini Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan peletakan jawatan Isa sebagai pengerusi FGV. Jawatan Isa akan diambil alih pengarah bukan eksekutif bebas FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob.
Najib berkata, sebagai menghargai sumbangan Isa, beliau dilantik sebagai pemangku pengerusi kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Sementara Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Ke 2 Felda mengalu-alukan keputusan peletakan jawatan Isa daripada FGV.
“Saya tak berapa kenal Tan Sri Sulaiman. Akan tetapi yang paling penting saya tengok biodata dia bagus dan ada integriti.

“Yang paling penting dia bukanlah ahli politik, dia dulu pegawai kerajaan” kata pengerusinya Zulkefli Nordin kepada The Malaysian Insight.
Zulkefli turut berterima kasih kepada Najib kerana mendengar suara anak peneroka Felda.
Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila Isa dan Lembaga Pengarah memaksa Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti 6 Jun lalu.
Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu.
SPRM turut memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA