Sabtu, 3 Jun 2017

Amalan politik bebankan rakyat

 SAYA berasa agak terganggu dengan perkembangan budaya politik mutakhir ini. Ia bermula dengan isu penggunaan masjid atau surau sebagai institusi awam yang dikatakan dipergunakan parti politik untuk tujuan politik, sama ada parti di sebelah kerajaan, mahupun oposisi.
Bagi pemimpin atau parti politik, memang semua pihak mendakwa ada justifikasinya, malah mendakwa niat mereka ikhlas, itu kita tahu.
Namun dalam politik, keikhlasan itu bukan perkara mudah untuk diukur atau dijustifikasikan secara objektif kepada semua pihak, apatah lagi kepada penyokong oposisi atau kerajaan.
Maka soal niat atau tujuan ahli politik (bukan penjawat awam) cukup terdedah dengan salah faham hingga membawa persepsi yang salah kepada semua pihak.
Baru-baru ini di Johor juga berlaku perkara yang sama. Muhyiddin Yassin baru tahu beliau kini sudah tidak boleh memasukki surau untuk membuat program, walaupun beliau wakil rakyat yang sah, bekas menteri besar dan bekas timbalan perdana menteri. Malah dakwaan beliau ia program kebajikan, tetap tidak boleh diterima pihak berkuasa.
Kes seumpama ini sebenarnya sudah lama berlaku, ia menjadi budaya hingga masyarakat tidak berasa ia perkara yang menyimpang asas demokrasi.
Agensi kerajaan
Sebelum budaya ini, bertahun-tahun kita melihat bagaimana parti politik kerajaan menggunakan aset, jentera, agensi dan kakitangan awam untuk tujuan politik mereka. Baik di musim kempen pilihan raya atau tidak.
Terbaru, MCA menggunakan premis Majlis Daerah Yong Peng (PBT) untuk menjalankan mesyuarat partinya dengan cukup mudah. Tiada rasa malu dan bertanggungjawab.
Saya melihat, jika perkembangan ini dibiarkan, ia akan merosakkan sistem amalan tadbir urus yang telus (good governance).
Parti politik, pemimpin, kakitangan awam dan pembayar cukai akan berbalah siapa lebih berhak menggunakan premis awam dan agensi ini. Perbalahan ini akan mengheret kita semua hingga kepada hujah perkauman dan kepercayaan agama.
Bagi saya ini bukanlah budaya politik yang waras, apatah lagi politik yang boleh membangunkan minda. Sebaliknya, hanya akan terus memerangkap persepsi buruk kita tentang politik dan fungsi premis atau agensi awam ini.
Dalam konteks ini, kita semua harus memahami satu garis politik yang jelas, dimana had mereka berpolitik.
Patuh dan hormati undang-undang
Menghormati undang-undang, adalah termasuk menghormati dan memahami fungsi aset dan jentera kerajaan sebagai hak pembayar cukai. Malah, ia termasuk menghormati konvensyen amalan "kerajaan sementara" (caretaker government) ketika Parlimen atau Dewan Negeri dibubarkan.
Undang-undang yang kita ada cukup banyak, tetapi kita yang menguasai kerajaan (pihak berkuasa), melaksanakan undang-undang tersebut secara selektif.

Senario ini bagi saya sebenarnya cukup signifikan dengan keadaan budaya politik semasa kita.
Ketika ini, oposisi dan kerajaan sudah menjadi kebiasaan melantik pemimpin parti politik ke posisi penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Memang ada pro dan kontra dengan amalan ini, namun begitu ia harus ada satu garis yang jelas yang membolehkan perlantikan itu dijustifikasikan kepada semua pihak. Tetapi ini tidak berlaku sama sekali.
Hal seumpama ini juga mempengaruhi polisi diperingkat PBT. Bagaimana hari ini, ahli majlis yang dilantik daripada kalangan ahli parti politik, memberi khidmat kepada masyarakat secara selektif.
Adakah ia berpunca daripada amalan dasar/polisi? Atau ia memang sikap ahli majlis tersebut, yang dididik untuk berasa bertanggungjawab kepada parti politik yang memilihnya?
Begitu juga dengan layanan PBT kepada wakil rakyat pembangkang dalam Mesyuarat Penuh PBT di Johor (praktik di negeri lain saya tidak pasti), yang terus menghalang kehadiran wakil rakyat oposisi untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat tersebut.
PBT ini wujud dengan akta dan peruntukan undang-undang, tetapi sekali lagi, ia dilaksanakan secara selektif. Ini menyukarkan semua pihak baik wakil rakyat, media, pembayar cukai termasuk penjawat awam yang profesional di semua PBT.
Kesemua masalah dan isu inilah yang membebankan masyarakat dan agensi serta kakitangan awam.
Hal ini harus dihentikan segera jika kita (oposisi atau kerajaan) mahu lekas bergerak maju. Perlu ada wacana dan hujah yang meluas bagi memahami masalah ini.
Perbincangan ini harus adil dan terbuka. Biar kakitangan awam, pembuat dasar dan pembayar cukai berkongsi hujah demi memajukan masyarakat dan politik kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA