Sabtu, 17 Jun 2017

Adik-beradik Singapura, adik-beradik Malaysia..!!!

Apakah dakwaan 2 adik perdana menteri Singapura boleh juga diguna pakai dan diulangi di Malaysia?
lee-family-1
Oleh Yunus Tasim
Apa yang berlaku dalam keluarga mendiang Lee Kuan Yew tentunya menarik banyak perhatian.
Persengkataan keluarga tidak dapat dibendung dalam lingkungan keluarga. Adik-beradik perdana menteri Singapura, Lee Hsien Loong sudah jadikan persengkataan keluarga itu dalam lapangan awam yang boleh dibaca oleh semua orang, dalam dan luar negeri.
Sebenarnya persengkataan keluarga adalah perkara biasa. Ia kerap berlaku kepada keluarga beberapa hartawan ternama di Singapura dan Malaysia, sering kali kerana merebut harta pusaka setelah kematian orang yang membina empayar kekayaan tersebut.
Tapi yang ini berbeza. Bezanya kerana berlaku kepada keluarga Lee Kuan Yew (LKY), pengasas republik Singapura.
LKY terkenal sebagai seorang yang tegas dan berdisiplin. Tidak hairanlah anak-anaknya juga seperti dia.
Ketiga-tiga mereka menjadi. Yang sulung, Lee Hsien Loong mewarisi bakat ayahnya memimpin Singapura sebagai perdana menteri ketiga selepas Goh Chok Tong.
Anak perempuannya Lee Wei Ling seorang doktor, manakala Lee Hsien Yang pula seorang ahli perniagaan dan pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Singapura.
Tapi itu bukan persoalannya. Bukan merebut harta pusaka. Dan tentunya ramai nak tahu harta peninggalan LKY kalau mereka bersengketa kerana harta.
Mereka bersengketa hanya kerana wasiat terhadap rumah kediaman LKY. Rumah banglo sederhana besar yang terletak di 38 Oxley Road di tengah bandar raya Singapura, didiami mendiang LKY dan keluarga sejak 1940-an sebelum beliau menjadi perdana menteri.
LKY menjadikan ianya satu wasiat untuk rumah itu dirobohkan setelah ketiadaan beliau kerana tidak mahu rumah itu dijadikan tugu atau monumen untuk beliau.
Dan 2 anaknya, Hsien Yang dan Wei Ling telah sedia melaksanakan wasiat tersebut, tetapi dihalang. Hsien Loong mempunyai keinginan sendiri dan tidak setuju rumah itu dirobohkan malah mahu dijadikan salah satu bahan sejarah untuk memperingati jasa mendiang LKY dan legasinya.
Hal keluarga jadi isu negara
Di sinilah persengketaan bermula. Dan sudah pasti perbincangan demi perbicangan dilakukan sesama keluarga. Kerana kebuntuan itu, adik-adik PM itu meluahkan kekecewaan mereka di Facebook. Bagi kita, itu soal keluarga, biarpun Hsien Loong cuba menjadikannya soal negara.
Dan soal keluarga sebenarnya soal kecil dan orang besar seperti Hsien Loong pasti boleh menyelesaikannya.

Tapi bila soal sekecil ini boleh dikaitkan menjadi soal kepimpinan negara, ia sudah jadi besar. Kewibawaan perdana menteri pasti terluka, kalau tidak pun tercabar!
Adik-adiknya berkata keputusan abangnya tidak mengikut kehendak wasiat mendiang ayahnya mencabar integriti dan kredibiliti abangnya sebagai perdana menteri.
Diungkitkan juga soal salah guna kuasa menggunakan aparatus kerajaan dan melantik peguam negara untuk membolehkan cita-citanya menjadikan rumah LKY bahan sejarah Singapura sekaligus wasiat mendiang LKY diketepikan, dan tidak perlu dilaksanakan, atas alasan sejarah dan kepentingan negara.
Tidak cukup dengan itu, ditonjolkan pula salah laku isteri Hsien Loong dan langkah politik untuk anak mereka.
Bayangkan soal “sekecil” itu dikaitkan dengan integriti kepimpinan negara dan kelayakan memimpin negara.
Di Malaysia kita sedang menghadapi kemelut yang lebih besar. Dakwaan pecah amanah dan harta negara dan kuasa disalah guna adalah perkara yang besar.
Wang berbilion ringgit dimasukkan ke dalam akaun peribadi pemimpin bukan soal remeh. Ia sebenarnya soal kewibaan dan integriti yang besar.
Kalau Singapura mengambil tindakan terhadap bank yang terlibat dengan 1MDB, kenapa Malaysia terkiyal-kiyal melambat-lambatkan proses itu.
Apakah dakwaan adik-adik Hsien Loong boleh juga diguna pakai dan diulangi di Malaysia?
Di Korea, rasuah yang dilakukan oleh kawan presiden menyebabkan presiden tersingkir daripada jawatannya atas soal integriti.
Berbeza dengan Malaysia. Biarpun kawan atau anak tiri, kuasanya berterusan, integritinya tidak tercalar.
Banyak lagi perkara berkaitan yang sebenarnya merosakkan integriti kepimpinan tetapi selagi semua kuasa dikawal satu orang, maka orang itu boleh mengabui mata rakyat.
Inilah punca kekalutan sesebuah negara. Selagi rakyat tidak sedar, selagi orang berilmu tidak sedar dan selagi orang agama bersekongkol dengan kebejatan ini, janganlah kita berangan-angan kebaikan kepada negara kita.
Yang mengaku negara Islam seharusnya malu, kerana kita jauh di belakang Singapura mengikut indeks islam.
Di sana, adik-beradik mempersoalkan integriti kepimpinan abangnya. Bagaimana pula suara adik-beradik di sini?

1 ulasan:

  1. Dan kita mengaku Islam!! Wasatiyyah lg. Amat memalukan keluarga tun razak ni. Pls do the right thing

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA