Ahad, 28 Mei 2017

TN50 kelirukan rakyat, kata veteran Umno


TN50 kelirukan rakyat, kata veteran Umno
Banyak urusan ekonomi dan politik negara di bawah pentadbiran Najib Razak berjalan secara gopoh gapah dan tidak konsisten kerana mahu menutup kecurangan besar yang berlaku.
RAKYAT Malaysia dikelirukan dengan program Transformasi Nasional 2050 atau TN50 pada ketika Wawasan 2020 masih belum dicapai, kata wartawan veteran dan ahli Umno Zainuddin Maidin.
Bekas menteri penerangan itu berkata, tindakan kerajaan Najib Razak hari ini merupakan suatu pengkhianatan terhadap perdana menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad.
“Proton tidak lagi merupakan kereta nasional yang suatu masa dahulu menimbulkan rasa kebanggaan rakyat pada diri sendiri.
“Tanah negara menjadi milik asing dan banyak lagi ciri-ciri tragedi ekonomi dan politik yang menghakiskan jasa-jasa Umno yang lalu yang menjadikan orang Melayu berbangga dan terikat  pada Umno,” tulis Zainuddin dalam blognya Zamkata hari ini.
Zainuddin turut berkata, media arus perdana kini sama ada media cetak atau elektronik sudah tidak diyakini rakyat.
“Berita TV3 tidak lagi ditonton, akhbar-akhbar harian perdana tidak terjual. Rakyat tidak lagi percaya kepada angka-angka pertumbuhan ekonomi dan cerita kedatangan modal berbilion-bilion.
“Mereka sinis terhadap TN50 sedangkan mereka belum melihat Wawasan 2020 menjadi realiti.
“Tragedi ini berlaku kerana pengurusan ekonomi dan politik negara berjalan secara ad hoc, gopoh gapah, tidak menilai integriti, flip flop dan tidak konsisten kerana mahu menutup kecurangan besar yang berlaku,” tulisnya.
Menurut Zainuddin, era pemerintahan Dr Mahathir yang kini pengerusi kepada parti pembangkang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan teragung dalam sejarah negara.
“Dr Mahathir memberikan pengertian kepada kuasa rakyat di era pemerintahannya dengan memperkukuhkan kesucian institusi Diraja supaya terus dihormati dengan tidak mencampuri urusan rakyat.
“Bila raja campur urusan rakyat maka raja menjatuhkah taraf mereka,” kata Zainuddin merujuk kepada krisis Perlembagaan yang mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu di zaman pemerintahan Dr Mahathir.
Menurut Zainuddin, zaman kegemilangan Umno dalam menaikkan nama Malaysia di persada dunia sudah berakhir.
“Sukar untuk menebus kembali keyakinan rakyat setelah keruntuhan berlaku satu demi satu.
“Masa depan Umno sudah tidak ada lagi kerana jasanya yang tersemat di hati rakyat terpadam dan tidak ada lagi bersinar tugu-tugu yang mungkin boleh mengingatkan mereka untuk meneruskan sokongan kepada Umno.
“Sudah berlalu suatu zaman bersejarah emas di bawah kepimpinan Umno yang berintegriti, dihormati dan dikagumi, daripada Tunku sampai ke Dr Mahathir dan tiba kepada zaman keruntuhan di bawah pimpinan Umno yang sedang menghadapi masalah besar untuk menebus kembali maruah bangsa, agama dan negara,” tulisnya.

2 ulasan:

  1. Zam,
    Ingat lah kepada teori RAHMAN.
    Teori ini mungkin akan menjadi realiti tidak lama lagi.

    BalasPadam
  2. Setakat ni tidak ada PM yg setanding dgn Tun M.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA