Jumaat, 26 Mei 2017

Tindakan sekat Ahmad beri kuliah tak demokratik

Tindakan pentabdiran sesetengah masjid dan surau menyekat bekas pegawai kanan Pusat Islam, Ahmad Awang, dianggap tidak demokratik oleh Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor.
Ketuanya, Abbas Azmi, berkata tindakan itu juga seolah-olah mereka mempersoalkan keilmuan dan kredibiliti Ahmad.
"Bagi kami ia adalah tindakan tidak demokratik untuk menyekat seorang insan bernama Ahmad Awang yang terbukti kredibilitinya sebagai seorang pendakwah serta bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia," katanya pada sidang media di pejabat AMANAH Selangor di Shah Alam, hari ini.
Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Ahmad memberitahu berbelas masjid dan surau mengetepikan namanya daripada senarai penceramah tetap sejak kira-kira dua tahun lalu.
Malah kata Ahmad, ada tempat tertentu enggan lagi memberi ruang kepadanya mengajar selepas lebih 20 tahun menyumbang pengetahuannya di situ.
Isu itu berlaku selepas Ahmad menerima pencalonan untuk bertanding jawatan presiden PAS pada pemilihan parti itu pada 2015.

Beliau sudah meninggalkan PAS dan kini dilantik menjadi Penasihat Umum AMANAH.
Mengulas lanjut Abbas menyeru semua pihak khususnya pentadbiran masjid dan surau di Selangor tidak menjadikan faktor politik untuk menilai seseorang pendakwah.
"Oleh kerana berbeza pandangan politik, maka seseorang itu dinafikan haknya berceramah.
"Ini satu tindakan yang tidak demokratik dan saya yakin rakyat boleh menilai tindaka sebegini.
"Pemuda AMANAH Selangor menyeru surau, masjid dan sebagainya supaya tidak menjadikan politik sebagai faktor amat penting menilai pendakwah," tegas Abbas.
Selain pernah mendapat kepercayaan menjadi pesuruhjaya di Perak, Ahmad pernah berkhidmat sebagai naib presiden PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA