Khamis, 11 Mei 2017

‘SPRM, bagaimana dengan gaya hidup mewah Najib?’

Susulan penahanan seorang pegawai imigresen semalam yang gaya hidup mewahnya menimbulkan syak wasangka rasuah, seorang ahli parlimen DAP mempersoalkan gaya hidup mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya.
"Saya memuji usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi rasuah. Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan gajah di depan mata.
"Tidak ada guna menjadikan pegawai rendmuda dan pembantu pentadbiran sebagai sasaran, tetapi tidak ambil peduli bahawa perdana menteri dan keluarganya juga terkenal kerana memiliki gaya hidup mewah yang tidak setimpal dengan emolumen rasminya," kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, beliau telah membuat laporan kepada SPRM Johor dua tahun lalu menggesa suruhanjaya itu untuk menyiasat kekayaan Najib dan keluarganya.
Menurut Teo, SPRM memaklumkan kepadanya, bahawa memiliki barangan mewah bukan suatu kesalahan melainkan jika barangan itu diperoleh melalui rasuah dan bahawa mereka tidak boleh memulakan siasatan.
"Tetapi, jika SPRM boleh merampas barangan milik pegawai imigresen itu kerana disyaki diperolehi melalui cara haram, mereka tentu boleh merampas beg tangan Birkin, barangan kemas dan semua barangan mewah milik Najib dan keluarganya untuk menyiasat sama ada ini diperolehi daripada rasuah 1MDB," katanya.
Semalam, seorang pegawai imigresen berusia 37 tahun ditahan oleh SPRM atas dakwaan rasuah melibatkan lebih daripada RM27.9 juta.
Beliau dilaporkan memiliki lima kereta mewah, 13 jam tangan mahal dan 13 beg tangan berjenama serta akaun simpanan tetap bernilai kira-kira RM1 juta.
Rampasan SPRM itu dianggarkan berjumlah RM2.5 juta, termasuk rumah pegawai berkenaan di Jitra, Kedah.

1 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA