Rabu, 17 Mei 2017

SPR didesak siasat 'operasi gonggong' pindah pengundi di Kelantan


Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menunjukkan memorandum Bersih kepada SPR ketika bergambar bersama rombongan Pakatan Harapan KelantanDatuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menunjukkan memorandum Bersih kepada SPR ketika bergambar bersama rombongan Pakatan Harapan Kelantan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didesat menyiasat segera usaha dilakukan pihak tertentu memindahkan pengundi secara terancang di beberapa kawasan di Kelantan.
"Operasi memindahkan pengundi kerana bakal calon parti tertentu yang nak bertanding di kawasan baru kini dapat dikesan," kata pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Dalam penemuan awal pihaknya, beliau berkata 454 orang dikesan dipindahkan daripada kawasan parlimen Tumpat ke Pasir Puteh.
"Di Kelantan kita namakan tindakan ini sebagai 'operasi gonggong" di mana pengundi dipindahkan bukan sebab perpindahan tempat tinggal," katanya.
Beliau bimbang operasi ini ada kaitan dengan desas desus seorang bekas pemimpin Umno Tumpat yang bercadang untuk bertanding di kawasan Pasir Puteh dalam pilihan raya kali ini.
"Kita mendapat maklumat terdapat kemasukan hampir 500 pengundi ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Gaal yang dikatakan berasal dari Tumpat.
"Kami mendesak SPR segera menyiasat perkara ini supaya sejarah lama operasi gonggong yang selalu dilakukan Umno satu kembali berjalan, Katanya pada sidang media sebelum menyerahkan memorandum tuntutan Bersih di pejabat SPR Kelantan semalam.
Menurutnya, kawasan Pasir Puteh Machang, Tanah Merah dan Bachok dikesan terlibat dengan kemasukan pengundi baru yang mencurigakan ini.
Berkenaan memorandum Bersih beliau berkata penyerahan itu dijalankan serentak di selurun negara.
"Perkara paling pokok adalah tuntutan supaya SPR diletakkan di bawah kuasa parlimen dan bukannya di bawah perdana menteri seperti sekarang.

"Bersih juga mahu segala bentuk korupsi dan politik wang dihapuskan dan daftar pemilih dibuat secara automatik apabila seseorang cukup umur 21 tahun," katanya.
Tuntutan lain katanya ialah berkaitan semakan daftar pemilih supaya lebih berintegriti dan menilai semula kesahihan pengundi tanpa hadir, dulu dipanggil pengundi pos.
"Bersih juga mahu amalan membenarkan pemerhati pihan raya antarabangsa dibenarkan semula.
"Kita juga mahu liputan media yang tidak berat sebelah dan tempoh kempen seperti asal selama 21 hari bukannya 11 hari yang diamalkan sekarang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA