Selasa, 30 Mei 2017

SKANDAL 1MDB: SINGAPURA DENDA 2 BANK LAGI

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan penalti kewangan ke atas United Overseas Bank (UOB) dan Credit Suisse berhubung transaksi berkaitan 1MDB.
Akhbar Singapura, The Straits Times hari ini melaporkan pemeriksaan selama 2 tahun ke atas UOB dan Credit Suisse mendapati kedua-dua bank itu melanggar beberapa keperluan anti pengubahan wang haram (AML) dan kesilapan kawalan.
uob-singapore-mas
Ia termasuk kelemahan dalam melaksanakan pematuhan piawaian ke atas pelanggan dan kawalan tidak mencukupi ke atas transaksi serta aktiviti pelanggan. MAS bagaimanapun tidak mengesan kelemahan kawalan menyeluruh dalam kedua-dua bank itu.
Sehubungan itu, UOB dikenakan penalti kewangan berjumlah S$900,000 dan Credit Suisse pula didenda S$700,000 kerana melanggar Notis 626 MAS – Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Menentang Pembiayaan Keganasan.
Pengurusan 2 bank itu turut diarah mengambil tindakan disiplin sewajarnya ke atas kakitangan terbabit, selain melantik badan bebas untuk menilai dan mengesahkan pelaksanaan langkah pembaikan secara berkesan.
UOB dan Credit Suisse sedang mengambil langkah untuk menangani kelemahan yang dikenal pasti dan meningkatkan kawalan AML mereka.
Dalam pada itu, The Straits Times turut melaporkan MAS mengeluarkan perintah larangan (PO) kepada 3 individu dan notis untuk melaksanakan tindakan kawal selia sama ke atas 3 individu lain.
Susulan pengumuman pada 13 Mac lalu, PO seumur hidup dikeluarkan kepada pengurus Falcon Private Bank Ltd cawangan Singapura, Jens Fred Sturzenegger dan kakitangan BSI Bank, Yak Yew Chee, manakala PO selama 15 tahun dikenakan terhadap Seah Mei Ying yang juga pekerja BSI Bank, berkuat kuasa semalam.
Sturzenegger didapati bersalah melakukan jenayah kewangan, termasuk memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa dalam usaha menyembunyikan hubungan Falcon Bank dengan jutawan Malaysia, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Yak dan Seah pula didapati gagal melaporkan urus niaga mencurigakan dan memalsukan surat rujukan di BSI Bank bagi pihak Jho Low.

Tiga individu itu dilarang daripada memberi khidmat nasihat kepada mana-mana pasaran modal dan kewangan, menyertai pengurusan, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham utama dalam mana-mana firma penasihat kewangan dan perkhidmatan pasaran modal di Singapura.
MAS turut memaklumkan 3 lagi bekas dan pekerja sedia ada diberikan PO selama 3 hingga 6 tahun.
MAS sebelum ini mengarahkan penutupan BSI Bank dan Falcon Bank akibat kegagalan pengurusan kanan mengawal AML dan salah laku, selain mengeluarkan PO selama 10 tahun sehingga seumur hidup kepada 4 bekas pekerja institusi kewangan terbabit dalam transaksi berkaitan 1MDB.
Penalti kewangan berjumlah S$29.1 juta turut dikenakan ke atas 8 bank, iaitu BSI Bank, Falcon Bank, DBS, UBS AG, Standard Chartered Bank, Coutts, Credit Suisse dan UOB atas pelbagai pelanggaran keperluan AML.

1 ulasan:

  1. Syabas MAS. Ingat bahwa Singapura dipimpin oleh PM bukan Islam. Mereka tegas dalam soal penipuan dan korupsi.


    Pilihlah pemimpin yang amanah, berperinsip dan berimtegriti... tak kira dia tu muslim atau bukan muslim.


    Saya yang benar,
    "PAY PER VIEW"

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA