Isnin, 29 Mei 2017

RDPT: SUKARELAWAN INVOKE ATASI HALANGAN SPR

Assalamualaikum saudara/saudari,

Saya kini sedang menulis di dalam kandang tertuduh mahkamah Shah Alam. Saya banyak menghabiskan masa di dalam kadang tertuduh (sama ada di mahkamah Shah Alam atau Jalan Duta) sepanjang minggu ini, minggu lepas, dan minggu depan bagi menghadapi pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atas saya.

Di luar mahkamah, sama suram ceritanya.

Buat pertama kali dalam sejarah, SPR menafikan hak rakyat Malaysia untuk mengetahui pengundi baru yang ditambah dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT).

Proses yang dikendalikan buat bertahun-tahun sebelum ini cukup ringkas:

i) Rakyat Malaysia mendaftarkan diri sebagai pengundi

ii) Pada setiap akhir suku tahunan, SPR akan mempamerkan siapakah pengundi berdaftar (untuk satu tempoh masa) bagi membolehkan draf senarai pengundi untuk disemak.

iii) Jika terdapat sebarang keraguan, rakyat berhak untuk membuat bantahan (dengan sebab yang kukuh) dan SPR bertanggungjawab untuk menyiasat dan membuat keputusan yang adil sama ada pendaftaran itu sahih, atau sebaliknya.

iv) Sehabisnya proses ini, rang daftar pemilih (selepas semakan khalayak ramai) akan diwartakan sebagai rang daftar pemilih yang muktamad.

Tapi kini semuanya telah berubah.

Untuk suku pertama 2017, SPR memutuskan untuk tidak lagi menjual salinan rang daftar pemilih (seperti tahun-tahun sebelumnya) bagi semakan persendirian. Mereka hanya membenarkan semakan dibuat oleh orang ramai di ibupejabat SPR sahaja dan rang tersebut tidak dibenarkan dibawa keluar sama sekali.

Niatnya jelas.

Dengan taktik ini, SPR harap dapat mematahkan semangat rakyat Malaysia dan rang daftar pemilih tidak lagi mudah diteliti atau disemak.

Ini hanya membenarkan elemen penipuan berlaku di mana orang-orang yang berkuasa dapat menyeludup pengundi palsu, atau memindahkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan yang lain bagi memanipulasikan keputusan PRU14.

Akan tetapi SPR memandang rendah kebaikan dan kejujuran setiap seorang warganegara Malaysia.

Sepanjang minggu ini, berpuluh-puluh sukarelawan telah berkhemah saban hari di pejabat SPR di setiap negeri seluruh Malaysia.

Walaupun menghadapi cabaran, (mereka dinafikan akses elektrik, ada yang tidak dibenarkan untuk mengimbas), sukarelawan-sukarelawan ini menggunakan daya kreativiti mereka untuk melaksanakan kerja.

Ada yang gunakan khidmat telefon pintar dan ‘powerbank’ untuk menangkap gambar setiap halaman mukasurat rang daftar pemilih.

Ada yang memakai pengimbas tangan berkuasa bateri.

Ada yang membawa mesin pengimbas berkuasa tinggi
Ada yang membawa mesin penjana sebagai bekalan kuasa mesin fotostat
Ada juga seorang sukarelawan yang sanggup membawa bateri kereta dan mengecaskannya ke mesin pengimbas.

Setelah berhari-hari berkhemah di ibupejabat SPR seluruh negara, sukarelawan INVOKE (dengan kerjasama AMANAH dan PKR di sebahagian negeri) sudah hampir siap mengimbas semua rang daftar pemilih bagi kesemua 222 kerusi parlimen dan hampir 600 kerusi DUN.

Kami akan menyimpan semua data dalam bentuk ‘soft-copy’ dan menganalisa data ini melalui pasukan analisa kami supaya dapat mengkaji pemindahan pengundi, kebarangkalian, keraguan dan ‘trend’ mengundi.


Usaha tenaga kerja sukarelawan ini menunjukkan yang lagi kami ditekan oleh rejim yang kejam, lagi kuatnya semangat kami, dan lagi kreatif kami jadi untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Siapa kata rakyat Malaysia tidak boleh membuat perubahan apabila berhadapan dengan sumber dan jentera bagaikan raksasa yang dikuasakan Najib Tun Razak? Sukarelawan INVOKE telah membuktikan yang kita boleh melawan sistem ini walau apa pun halangan.

Walaubagaimanapun, jumlah rakyat Malaysia di dalam Sistem Pengurusan Sukarelawan kami masih lagi berada di tahap yang rendah berbanding dengan sasaran kami untuk merekrut 40,000 sukarelawan aktif untuk PRU14. Setelah kerja-kerja pemutihan dijalankan, hanya terdapat sekitar 8017 sukarelawan yang berdaftar sehingga 18 Mei 2017.

 Daripada jumlah ini, hanya 1132 sukarelawan yang telah menerima emel pengesahan daripada sistem INVOKE yang membenarkan mereka untuk turut serta dalam aktiviti lapangan mingguan (yang lain hanya daftar sahaja tetapi belum beri maklumbalas emel pengesahan).

Jadi jika anda sudah mendaftar sebelum ini tetapi tidak menerima makluman aktiviti mingguan di sekitar kawasan anda, ini bermakna anda belum mengesahkan diri anda melalui emel.

Kami minta anda semak fail ‘Spam’ atau tab ‘Promotion’ di akaun emel anda, emel pengesahan daripada INVOKE mungkin telah dihantar ke sana. Sila sahkan secepat mungkin supaya anda dapat turut serta dengan segera.

Jika anda belum mendaftarkan diri lagi, sila daftar di bit.ly/JomJoinINVOKE. Jika anda tidak mempunyai masa, anda boleh membuat demikian apabila menjelangnya PRU14 nanti. Tetapi anda diminta untuk daftar dalam masa yang terdekat.

Kerja sukarelawan ini tidak melibatkan kos, tetapi jika anda mengabaikan sahutan ini, kosnya anda akan tanggung dalam bentuk ketidaktentuan masa depan negara yang semakin gelap.

Sila sebarkan mesej ini ke seberapa ramai rakan anda di WhatsApp dan ‘share’ di Facebook.

Rafizi Ramli

1 ulasan:

  1. Laknat semua warga spr. Puasa kamu sia2 sj. Jgn buat kerja terkutuk. Kamu dilantik utk jd referee yg adil, bukan berat sebelah! Sekali lg, laknat atas kamu semua

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA