Selasa, 30 Mei 2017

Rafizi cabar Khairy jawab soalan, bukan sibuk jual mimpi

Rafizi mendakwa, pertumbuhan KDNK era Najib lebih didorong pertambahan pekerjaan berkemahiran rendah dan bukannya produktiviti negara.
rafizi-khairyRafizi Ramli mencabar Khairy Jamaluddin menjelaskan kenapa rakyat tidak menikmati manfaat daripada perkembangan ekonomi Malaysia, bukannya sibuk menjelajah negara menjual mimpi untuk Transformasi Negara 2050 (TN50).
Naib presiden PKR itu dalam kenyataan hari ini berkata, beliau masih menunggu jawapan ketua Pemuda BN dan Umno itu untuk berdialog dengan 300 pemimpin pembangkang pada Dialog TN50.
“Beliau tidak boleh terus mendiamkan diri mengelak soalan-soalan saya mengenai isu pekerjaan dan kos sara hidup.
“Saya masih menunggu jawapan Khairy Jamaluddin mengenai peluang berdialog dengan 300 pimpinan pembangkang dalam sesi TN50 untuk saya tanya soalan paling mudah – apa tindakan Datuk Seri Najib Razak untuk mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai manfaatnya kepada rakyat?” soalnya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merujuk kepada bagaimana ekonomi menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan dan ia boleh dicapai melalui 2 cara, iaitu pertambahan pekerjaan atau produktiviti.
“…bukan semua pertumbuhan mengalirkan kebaikan ekonomi kepada rakyat. Ada yang dipusatkan di kalangan beberapa pihak, ada kerana lebih banyak pekerjaan bergaji murah yang diwujudkan.
“Oleh itu, walaupun saiz ekonomi dilihat semakin meningkat, tetapi ia turut dikongsi bersama lebih ramai orang yang kebanyakannya pekerja asing.”
Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan negara mempunyai kira-kira 6 juta pekerja asing berdaftar dan tidak berdaftar pada 2016.
Rafizi mengulas kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim pada 19 Mei lalu, yang berkata pertumbuhan KDNK itu berpunca daripada permintaan domestik dan perbelanjaan swasta yang kukuh.
Muhammad dilaporkan berkata, permintaan domestik meningkat kepada 7.7% dan perbelanjaan swasta pula meningkat 8.2%, selain perbelanjaan sektor awam kian pulih.
Rafizi berkata, pertumbuhan KDNK negara jika didorong produktiviti, setiap pekerja akan mendapat imbuhan lebih besar kerana jumlah pekerja tidak perlu ditambah secara mendadak dan hasil ekonomi dikongsi dengan lebih adil.
Bagaimanapun katanya, kadar kenaikan imbuhan pekerja merosot daripada 5.3% pada 2011 kepada 3.8% pada 2015.
“Sebab itu pertumbuhan perlu diperhalusi sama ada ia hanya dipacu pertambahan pekerja yang dibayar gaji murah, atau daripada kerja bernilai tinggi dengan gaji lebih tinggi.”
Beliau membuat perbandingan antara pertumbuhan KDNK di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih didorong produktiviti berbanding Najib (2011 hingga 2015) yang didorong pertambahan pekerjaan, berdasarkan Laporan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

“…semasa pentadbiran Najib (2011-2015), pertumbuhan yang didorong produktiviti menurun (daripada 59.07% kepada 34.80% berbanding kadar pertumbuhan KDNK) manakala pertumbuhan didorong pertambahan pekerjaan meningkat dengan ketara (daripada 40.93% kepada 65.2% daripada kadar pertumbuhan KDNK).
“Keadaan ini menerangkan kenapa angka pertumbuhan KDNK nampak baik di atas kertas, tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa yang terpaksa bekerja setiap hari dengan kadar pertumbuhan upah rendah dan tidak sepadan kenaikan kos sara hidup.”
Rafizi menjangkakan pertumbuhan gaji sebenar selepas ditolak kadar inflasi bagi tahun ini akan jatuh ke paras terendah di rantau Asia (bagi ekonomi setanding Malaysia) iaitu sekitar 2.3%.”
Kadar inflasi pada bulan lalu mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 8 tahun ini, iaitu 5.1%.

3 ulasan:

  1. Khairi ni manalah mahu debat..... takut.

    BalasPadam
  2. dia pi jual mimpi bapak mertua dia kut......tak habih tidoq lagi kaaa????

    BalasPadam
  3. dulu dia juai mimpi bapak mertua dia....laa nie dia promote mimpi najib penipu muka selamba pulak......hihihihi....jgn sampai kencing dlm tidoq....hancing bebeno.....hiihihi

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA