Selasa, 16 Mei 2017

PKR: Hubungan Umno-PAS dahulu hanya ‘ijab’, sekarang ‘kabul’

Ketua penerangan PKR mempersoalkan tindakan PAS masih kekal dalam kerajaan negeri pimpinan parti itu selepas Majlis Syura Ulama parti Islam itu menetapkan hubungan mereka ditamatkan.
Syed-Ibrahim-Syed-Noh
PETALING JAYA: Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh mempersoalkan sikap “aneh” PAS yang masih kekal dalam kerajaan pimpinan parti reformasi itu selepas menamatkan hubungan kerjasama dengannya, tetapi dilihat mula menjalin kerjasama dengan Umno yang merupakan lawan politik PKR.
“Bukankah kerajaan negeri dipimpin menteri besar dan exco yang mana tahaluf (siyasi) dan rundingan politik dengan parti mereka telah terbatal menurut PAS?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
“Datuk Seri Najib Razak dengan bangga turut mengumumkan pembatalan ‘tahaluf siyasi’ antara PAS dan PKR dalam ucapannya (ketika sambutan ulang tahun Umno ke-71, Khamis lalu). Saya juga terbaca ada yang mendakwa kedua-dua Najib dan (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) telah bertemu sejurus sebelum itu.
“Ini seolah-olah menggambarkan ‘tahaluf siyasi’ antara Umno dan PAS telah termeterai. Jika dahulu hanya ‘ijab’, sekarang semacam sudah ‘kabul’.”
PAS sebulat suara meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan PKR pada muktamarnya 30 April lepas. Keputusan itu kemudiannya dimuktamadkan Majlis Syura Ulama PAS pada Khamis lepas menyebabkan 3 exco parti Islam itu berdepan tekanan untuk melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan negeri.
Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, mereka akan kekal dalam kerajaan negeri untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan memastikan DAP “tidak membuat kerja jahat”.
Hari ini, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang dipetik Oriental Daily berkata, parti itu mungkin mencapai “kata sepakat” dengan Umno untuk tidak melawan satu sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun, parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan beberapa sekutu BN di Sabah dan Sarawak sebelum ini dilihat tidak senang dengan hubungan mesra Umno dengan PAS, terutama dalam menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
PAS dan Umno sejak kebelakangan ini berkongsi pentas dalam beberapa isu sejagat, termasuk dalam membantu etnik Rohingya Disember 2016.

Mengulas lanjut, Ibrahim menyifatkan masalah rakyat lebih penting daripada isu politik seperti itu, tetapi beliau turut mengakui kepentingan muafakat politik dalam menghadapi Umno dan BN.
“Pertimbangan terbaik wajar diambil atas kemaslahatan rakyat, bukan atas kepentingan survival politik dan peribadi semata-mata seperti agenda Umno dan PAS,” katanya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu akan membincangkan kedudukan PAS dalam kerajaan negeri pada mesyuarat Biro Politiknya malam ini.
Jawatankuasa PAS Pusat pula dijangka membuat keputusan berhubung kedudukan 3 exco Selangornya – Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib, pada Khamis ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA