Rabu, 10 Mei 2017

PKR bantah tindakan SPR henti edar RDPT

PKR bantah tindakan SPR henti edar RDPT
Naib Presiden PKR menyerahkan memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia Wilayah Persekutuan berkaitan pemberhentian pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan suku tahun kepada parti-parti politi.
KUALA LUMPUR – PKR terus membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tidak lagi akan mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti-parti politik.
Terbaharu Ahli-ahli Parlimen PKR Wilayah Persekutuan menghantar bantahan kepada suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan, petang tadi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, senarai rang daftar pemilih kini hanya dipertontonkan di lokasi-lokasi awam bermula hari ini hingga 22 Mei 2017 dan melibatkan 960 tapak pameran seluruh negara.
"Terbukti hampir mustahil bagi petugas-petugas parti untuk menyemak satu demi satu nama pemilih yang terkandung dalam RDPT. Ternyata langkah SPR ini bukan sahaja menghadkan, menyukarkan proses semakan ini daripada dilaksanakan seakan melaksana strategi Umno-BN.
"Adakah SPR mahu sukarelawan-sukarelawan parti berdiri sepanjang hari dan menyemak nama-nama pengundi yang tersenarai di sini secara manual? Haruskah kami pindahkan kerusi meja untuk memudahkan sukarelawan-sukarelawan kami membuat semakan?,"katanya.
Terdahulu, beliau menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Unit Pendaftaran Pemilik SPR WPKL Ropiah Ismail.
Nurul Izzah, menambah, proses semakan senarai daftar pemilih ini penting bagi memastikan senarai yang dikeluarkan SPR bersih dari sebarang perkara yang meragukan atau penipuan.
"Sebagai contoh, ia merupakan salah satu cara kami untuk mengenal pasti sekiranya wujud pengundi ‘hantu’ di sesebuah kawasan. Proses semakan yang kami lakukan sebelum ini dibuat secara teliti, satu demi satu nama pemilih disemak kesahihannya.
"Saya khuatir tindakan SPR ini mendekatkan lagi demokrasi di negara kita kepada penipuan. Ia menyukarkan ketelusan dalam proses demokrasi dicapai," katanya.

Sementara itu, Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Hazrul Fahmi Ahmad, berkata, pihaknya tidak melihat sebarang alasan kukuh untuk SPR menghentikan pembesaran RDPT kepada parti-parti politik.
"Kami berpandangan tindakan SPR yang membelakangkan prinsip demokrasi bukan kali pertama berlaku tetapi beberapa kali cubaan ataupun usaha untuk sabotaj proses pilihanraya negara sejak 2013 hingga kini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA