Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada Julai 2015
dan di luar sebuah surau di Johor Bahru minggu lalu menunjukkan
ketegangan antara kaum mudah tercetus.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengetepikan konflik sedemikian sebagai masalah sementara, apatah lagi beberapa insiden kebelakangan ini menunjukkan masalah tersebut semakin teruk.
“Saya ingat insiden Low Yat sebagai penanda arasnya, tetapi kejadian di Johor Bahru minggu lalu adalah sesuatu yang harus kita fokuskan secara khusus,” katanya yang banyak mengulas isu agama dan kaum di media.
Beliau merujuk kes kecurian telefon di Plaza Low Yat pada Julai 2015 yang hampir mencetuskan rusuhan, serta pergaduhan di sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru, Jumaat lalu.
Dalam insiden minggu lalu, sekumpulan jemaah surau dalam keadaan berang memukul pemandu dan merosakkan keretanya, dipercayai berpunca daripada tindakan pemandunya membunyikan hon ketika jemaah sedang solat Jumaat kerana keretanya dihalang kenderaan diletakkan di luar surau itu.
Tajuddin berkata, beliau bercakap mengenai kejadian dengan ramai orang dan mereka setuju orang Melayu kurang sensitif terhadap masalah dan perasaan kaum lain.
“Di kalangan masyarakat Islam Melayu – jika anda mengganggu Islam, anda akan terima padahnya,” katanya yang berharap khutbah Jumaat minggu ini akan menyentuh isu tersebut dan memberi pemahaman kepada umat Islam.
Beliau juga memetik hadis Nabi Muhammad yang menasihatkan sembahyang berjemaah perlu dipermudahkan dan tidak terlalu lama kerana ada di kalangan jemaah terdiri daripada warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai urusan lain untuk diselesaikan.
“Baginda menyebut perkara itu kerana mengambil berat soal kebajikan dan tanggungjawab sivik umatnya,” katanya.
Namun, beliau turut menggesa golongan bukan Islam mengamalkan sikap toleransi kerana ia “sebahagian daripada resepi hidup bersama”.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa tempatan menangani masalah tempat letak kereta di surau dan masjid, serta memastikan penjaga trafik sentiasa ditugaskan di masjid ketika sembahyang Jumaat.
“Mereka tahu trafik akan sesak, kenapa tiada penjaga trafik? Kita ada penjaga trafik wanita untuk tujuan itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA