Sabtu, 27 Mei 2017

Pengkhianatan Umno: Proton, pemanduan penuh ranjau selama lebih 3 dekad...pengkhianatan Umno

Sejarah syarikat ini suatu drama yang panjang, daripada kereta yang merata-rata di jalan raya Malaysia, kepada sebuah jenama yang semakin pupus.
proton_saga_new_600
PETALING JAYA: Tiga puluh tahun sejak Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) melahirkan ciptaan pertamanya, syarikat itu mengharungi pelbagai liku, termasuk kemasukan Geely yang disebut-sebut menjadi titik tolak perubahan besar untuk kereta yang pernah diangkat sebagai “kejayaan Malaysia” itu.
Sejak diasaskan pada 1979 oleh timbalan perdana menteri ketika, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kemudian memegang jawatan perdana menteri untuk 22 tahun, pembuat kereta itu menyaksikan naik turun pengeluaran, jumlah jualan dan pegangan pasaran.
Kereta pertamanya, Proton Saga, dilancarkan pada 1985, ketika negara mengharungi kegawatan.
Namun syarikat itu bertahan, dan mencatatkan jumlah jualan di pasaran eksport yang cukup memberangsangkan di lebih 50 negara – pada 1993 sahaja pengeluaran kereta Proton mencecah paras tertinggi 500,000.
Proton pada awalnya berada dalam keadaan lemah semasa krisis kewangan 1985 dan sekadar mengeluarkan 17,000 kereta pada tahun pertama. Ia mampu bertahan lantaran subsidi kerajaan dan tarif yang menyebabkan jenama kereta lain jauh lebih mahal.
mahathir_proton_saga
Tiga tahun selepas Proton Saga memenuhi jalanraya, syarikat itu merangkul anugerah pertamanya di Pameran Permotoran Antarabangsa British – membawa pulang anugerah kualiti, rekabentuk dan pembuatan, dan ergonomik.
Kejayaan ini mendorong pelancaran beberapa model baharu pada 1996 termasuk Proton Tiara, Proton Wira 2.0 Diesel dan model 2 pintu Proton Putra, selain tawaran sedia ada Proton Wira, Proton Satria dan Proton Perdana.
Pertengahan 90an menyaksikan keadaan semakin baik buat Proton ekoran permintaan yang meningkat dan syarikat itu berjaya menaikkan keuntungannya. Kerana itu 4,800 orang diambil bekerja untuk memenuhi permintaan.
Bagi tujuan itu, Proton membina kilang kedua bernilai RM3.4 bilion pada tahun 2000 yang melipatgandakan kapasiti pengeluaran sehingga 2 kali ganda.
Pada tahun sama, ia memperoleh majoriti saham Kumpulan Lotus (80%) bernilai lebih RM245 juta. Pemilikan ini dibeli daripada A.C.B.N Holdings S.A dari Luxembourg, syarikat milik ahli perniagaan Itali Romano Artioli.
Persaingan
Namun, panas bertukar mendung pada 2006, apabila pembuat kereta tempatan kedua, Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) masuk gelanggang, menyaksikan jualan Proton menjadi perlahan di belakang Perodua dan jenama asing.
Memburukkan lagi keadaan, rundingan dengan salah satu pembuat kereta terbesar dunia, Volkswagen Automobile tidak berhasil lantaran perbezaan idea.
Proton dan Volkswagen menandatangani perjanjian pada Oktober 2004 untuk meneroka kerjasama strategik jangka masa panjang.
Ia bagaimanapun tidak berjaya dan syarikat asing itu mengundurkan diri kerana tiada persetujuan mengenai pemilikan syarikat.
Malah dari segi pengeluaran kereta, Perodua mengatasi Proton buat pertama kali sejak ditubuhkan, iaitu sebanyak 152,733 unit berbanding 115,538 unit Proton.
Trend ini berterusan sehingga tahun lepas. Jualan Proton sekadar 72,290 unit sementara Perodua 207,110 unit.
Ini menjejaskan prestasi kewangan DRB-Hicom Bhd, syarikat yang memiliki Proton Holdings.
Bagaimanapun, pada setengah tahun pertama 2011, Proton kembali melonjak dan mengataai Perodua sebagai jenama terlaris disebabkan bekalan terhad Perodua pada suku tahun kedua.
Tawaran Proton ketika itu paling kukuh dan menarik ramai pelanggan kerana model terasnya iaitu Proton Saga dan Proton Persona.
Letak jawatan
Pada 2016, pengasas Proton, Dr Mahathir, berundur daripada jawatannya sebagai pengerusi Proton Holdings, di sebalik kelantangannya terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang menyaksikannya keluar sebagai ahli Umno.

Dr Mahathir berkata oleh sebab tidak lagi menyokong kepimpinan semasa, maka tidak wajar memegang sebarang jawatan berkaitan kerajaan.
Kini, rancangan terbaharu Proton untuk bersama syarikat China, Kumpulan Zhejiang Geely Holding mungkin bakal menyelamatkannya – atau tidak – memandangkan kebimbangan ia akan menenggelamkan industri bahagian auto tempatan.
Adalah diketahui Proton membangunkan kira-kira 400 vendor dan sub-vendor, serta lebih 350 kedai jualan dan perkhidmatan.
Pada Selasa, Geely bersetuju untuk membeli 49.9% pegangan dalam Proton. Syarikat China itu menewaskan pembida lain, Kumpulan PSA, pembikin kereta Peugeot dan Citroen yang berpangkalan di Paris.
Geely, syarikat induk Geely Automobile Holdings Ltd yang berpangkalan di Hong Kong dan Volvo dari Sweden, turut memperoleh 51% dalam unit Proton, Lotus.
Menurut Pengerusi Geely Li Shufu, keputusan mencari rakan itu disebabkan Proton menyusutkan pendapatan DRB-Hicom dan Proton perlu dibantu biaya kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA