Rabu, 17 Mei 2017

Pendirian PKR kukuhkan Pakatan Harapan


Shazni Munir Mohd IthninShazni Munir Mohd Ithnin
Pemuda Amanah Nasional menyambut baik keputusan PKR mengarahkan semua lantikan politik parti itu dalam Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan jawatan.
Naib Ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, keputusan itu memperlihatkan ketinggian maruah PKR dalam menanggapi 'politik tak tahu malu' rakan lama mereka, yang dipercayai merujuk kepada Pas.
"Ketika rakan lama terus tebal muka mempertahankan jawatan politik di Selangor, pendirian PKR benar-benar mewajahkan kematangan dalam berpolitik.
"Tidak berhujah remeh-temeh menyalahkan pihak lain, sebaliknya PKR nekad mengarahkan peletakan jawatan serta-merta bagi semua lantikan politik di Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi membuat keputusan bahawa semua lantikan politik parti itu dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan-jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta.
Beliau juga berkata, Pemuda Amanah juga sangat menghargai komitmen PKR untuk memperkukuh Pakatan Harapan.
"Bagi seluruh pendukung perubahan, pendirian ini amat bermakna bagi memudahkan rakyat membuat pilihan yang jelas.
"Pakatan Harapan yang sarat dengan idea perubahan, atau kleptokrat Barisan Nasional yang mengkhianati amanah rakyat," katanya.
Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulamak Pas sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata, PKR menolak alasan-alasan yang diberikan Pas.
"PKR menerima keputusan Pas yang telah membuat ketetapan muktamad untuk membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR tetapi PKR menolak alasan-alasan yang telah mereka berikan.
"Ini walaupun PKR telah berusaha untuk menjaga dan melunakkan hubungan di antara kedua-dua parti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA